Penjaring gol kemenangan Croatia, Mario Mandzukic, menyimpulkan kejayaan layak ke final Piala Dunia selepas menundukkan England 2-1 di Luzhniki, awal pagi tadi, adalah satu keajaiban.

Kieran Trippier dan Ivan Perisic menjaringkan gol dalam masa sebenar sebelum penyerang Juventus itu meletakkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-109 untuk mengutip jaringan kedua dalam kejohanan dan memberikan kemenangan buat Croatia.

Kemenangan itu membolehkan Croatia melakukan perhitungan dengan Perancis dalam final Ahad ini dan pemain berusia 32 tahun itu menyifatkan kebangkitan yang dipamerkan pasukan negaranya sebagai satu keberanian.

"Ia adalah satu keajaiban. Hanya pasukan yang hebat mampu beraksi dengan berani seperti kami dan berjuang selepas ketinggalan sewaktu bertemu lawan seperti England. Kami bermain dengan sepenuh hati di sepanjang kejohanan," katanya.

"Saya gembira dengan persembahan dalam semua perlawanan. Saya di sini untuk pasukan dan menggemarinya. Kami berada di bawah tekanan sewaktu bertemu Denmark dan Russia tetapi anda boleh saksikan apa yang kami lakukan pada hari ini.

"Kami diibaratkan seperti singa yang memburu pada malam ini dan akan melakukan perkara sama dalam final. Kami menikmati perlawanan."