Mario Balotelli mungkin dinamakan sebagai kapten Itali tetapi penyerang itu dalam keraguan untuk menghadapi Perancis, kata ketua jurulatih, Roberto Mancini.

Balotelli membalas kepercayaan Mancini dengan jaringan ketika menewaskan Arab Saudi 2-1 dalam penampilan pertamanya bersama skuad Azzurri selepas empat tahun, Selasa lalu.

Penyerang Nice itu menyelar kain rentang -- memaparkan kata-kata 'kapten saya adalah berdarah Itali' -- yang dipamerkan semasa perlawanan bertujuan menyasarkan ke arah Balotelli.

Mancini mempertahankan bekas pemain Manchester City itu dan berkata ia tidak menghalangnya untuk menamakan Balotelli sebagai kapten pasukan pada masa depan.

"Di dalam pasukan kebangsaan, lilitan kapten selalunya diberi kepada pemain yang paling banyak membuat penampilan," kata Mancini kepada media, hari ini.

"Sekiranya Balotelli berada dalam kesebelasan utama dan lebih banyak membuat penampilan berbanding pemain lain, maka dia akan menjadi kapten.

"Kain rentang yang kita lihat di St Gallen adalah satu kejadian yang tidak sepatutnya berlaku.

"Dalam apa jua keadaan, Balotelli ragu-ragu untuk bermain (menentang Perancis esok) dan kami hanya akan membuat keputusan pagi esok."

Masa depan Balotelli Nice kini tidak menentu apabila pemain Itali itu berada di luar kontrak dan Mancini menawarkan bantuan kepada penyerang itu untuk perpindahan seterusnya.

"Sekiranya Mario meninggalkan Nice, maka penting dia mencari kelab di mana dia dapat bermain secara tetap, menjaringkan gol dan terus bertambah baik," tambah Mancini.

Bagaimanapun, Balotelli berkata dia belum tahu tempatnya pada musim 2018-19.

"Saya tidak pernah fikir tentang masa depan," kata Balotelli kepada laman web rasmi Nice. "Saya tidak mahu fikir terlalu jauh.

"Saya mahu memberi tumpuan kepada apa yang berlaku pada minggu ini. Untuk minggu depan, saya akan memikirkannya minggu depan.

"Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai masa depan saya," ujarnya.