Mario Balotelli bersedia mengakhiri pengasingan di peringkat antarabangsa selama empat tahun selepas Roberto Mancini menyenaraikan penyerang Nice itu dalam skuad pertamanya sebagai bos Itali.

Balotelli adalah pemain kegemaran Mancini dan pernah bermain di bawah ketua jurulatih itu ketika berada di Inter dan Manchester City.

Pemain berusia 27 tahun itu diketepikan semasa di bawah bimbingan Antonio Conte dan Gian Piero Ventura tetapi selepas tempoh mengecewakan di Liverpool dan AC Milan, penyerang itu menemui semula sentuhannya dalam Ligue 1.

Sejumlah 43 gol dalam dua musim di Nice nyata diberikan ganjaran oleh Mancini yang turut menyenaraikan lima muka baru dalam skuad 30 pemainnya untuk menentang Arab Saudi, Perancis dan Belanda -- perlawanan permulaan projek pembinaan semula berikutan kegagalan skuad Azzurri layak ke Piala Dunia 2018.

Pemain sayap Chelsea, Emerson Palmieri; pemain pertahanan Atalanta, Mattia Caldara; pemain tengah Torino, Daniele Baselli; pemain Crotone, Rolando Mandragora, dan penyerang Sassuolo, Domenico Berardi, semuanya akan beraksi untuk penampilan sulung di peringkat antarabangsa.

Skuad Mancini akan menghadapi Arab Saudi di St Gallen pada 29 Mei ini, sebelum menentang Perancis di Stadium Allianz Riviera pada 1 Jun dan menjadi tuan rumah kepada aksi menentang Belanda di Turin pada 4 Jun.

Senarai pemain:

Gianluigi Donnarumma (AC Milan), Mattia Perin (Genoa), Salvatore Sirigu (Torino); Leonardo Bonucci (AC Milan), Mattia Caldara (Atalanta), Domenico Criscito (Zenit), Danilo D’Ambrosio (Inter), Mattia De Sciglio (Juventus), Emerson Palmieri (Chelsea), Alessio Romagnoli (AC Milan), Daniele Rugani (Juventus), Davide Zappacosta (Chelsea); Daniele Baselli (Torino), Giacomo Bonaventura (AC Milan), Bryan Cristante (Atalanta), Alessandro Florenzi (Roma), Jorginho (Napoli), Rolando Mandragora (Crotone), Claudio Marchisio (Juventus), Lorenzo Pellegrini (Roma); Mario Balotelli (Nice), Andrea Belotti (Torino), Domenico Berardi (Sassuolo), Federico Bernardeschi (Juventus), Federico Chiesa (Fiorentina), Ciro Immobile (Lazio), Lorenzo Insigne (Napoli), Matteo Politano (Sassuolo), Simone Verdi (Bologna), Simone Zaza (Valencia).