Pep Guardiola telah membina pasukan terbaik dalam bola sepak dunia di Manchester City, kata bekas pemain tengah kelab itu, Joey Barton.

City berada di landasan untuk memenangi empat gelaran, dengan skuad Guardiola berkelebihan 16 mata di puncak Liga Perdana Inggeris dan melangkah ke final Piala EFL di mana mereka akan menghadapi Arsenal pada 25 Februari ini.

Kemenangan 4-0 ke atas Basel semalam -- di mana Leroy Sane kembali daripada kecederaan -- meletakkan City sebelah kaki dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah sementara kunjungan ke Wigan Athletic menanti dalam pusingan kelima Piala FA Selasa ini.

Dan Barton, yang memulakan kariernya di City dan bermain untuk kelab di antara 2002 dan 2007, berkata bekas majikannya itu adalah pasukan mantap.

"Tiada keraguan mengenainya. Saya fikir mereka adalah pasukan terbaik dalam bola sepak dunia," kata Barton kepada Omnisport. "Pada masa ini, tiada pasukan lebih baik berbanding mereka.

"Mereka akan menamatkan saingan gelaran liga dalam 10 atau lapan perlawanan berikutnya. Saya fikir mereka akan melakukannya sambil berbaki beberapa perlawanan.

"Saya menyaksikan secara langsung aksi mereka pada Khamis lalu (dalam kemenangan 5-1 ke atas Leicester City), hanya pasukan yang baik dapat menghalang mereka. Ada beberapa pasukan baik di Eropah menjadi halangan tetapi saya fikir mereka masih boleh meningkat lagi.

"Apabila mereka menemui prestasi sebenar... mereka memiliki pemain yang akan kembali daripada kecederaan tidak lama lagi -- Gabriel (Jesus), David Silva. Saya rasa mereka akan mara dan bagi saya, mereka adalah skuad terbaik di dunia pada masa ini.

City terlepas peluang layak ke peringkat akhir ketika menentang Monaco pada musim lalu, dengan skuad Leonardo Jardim itu mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas agregat terikat 6-6.

Dan Barton percaya kemampuan City untuk melengkapkan empat kejuaraan bergantung kepada cara skuad Guardiola mengendalikannya di pentas besar.

"Perlu banyak menerima tekanan, mengendalikan perlawanan dan masa," kata Barton.

"City agak baru dalam aspek itu dalam bola sepak Eropah tetapi mereka mempunyai keupayaan untuk melakukannya.

"Ia satu cabaran untuk PSG, untuk Spurs jika mereka mara. Ia juga satu cabaran buat City jika mereka sampai ke tahap itu. Seperti skuad Barcelona, ​​Bayern Munich, Manchester United, mereka sudah berada di sana sebelum ini, mereka telah memenangi piala Eropah."