Selepas membantu Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan B-19 AFC 2020, beberapa pemain kini bersedia untuk meningkatkan permainan mereka bagi menghadapi perlawanan di peringkat lebih tinggi.

Ketua jurulatih sementara pasukan kebangsaan B-18, Brad Maloney, percaya pemainnya boleh memainkan peranan penting untuk pasukan kebangsaan B-22 dalam Sukan SEA selepas bekerja keras sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun pemain tersebut akan menghadapi saingan hebat daripada pemain-pemain lebih berpengalaman sebelum dapat disenaraikan dalam pasukan tersebut, Maloney berkata keinginan pemainnya itu akan dapat membantu mereka dalam proses pemilihan.

“Ia satu permintaan yang besar untuk seorang pemain berusia 17 tahun, menghadapi pemain-pemain berusia 22 tahun, namun mereka ini amat berbakat dan mereka mempunyai semangat yang kuat untuk melakukannya. Tentunya saya percaya mereka boleh bermain di tahap itu.

“Tentunya mereka akan mempunyai peluang, melihat sama ada mereka boleh meningkat ke tahap itu dan berada dalam senarai akhir 20 pemain untuk Sukan SEA,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Malaysia layak ke pusingan akhir Kejohanan B-19 AFC 2020 itu selepas muncul juara Kumpulan G saingan kelayakan di Kemboja.

Pasukan kebangsaan B-18 itu mengungguli takhta kumpulan itu dengan 12 mata selepas mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dengan mengalahkan Thailand 1-0 di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, semalam.

“Ppemain telah berlatih tanpa mengenal lelah untuk beberapa bulan ini, terutama untuk lima ke enam minggu lalu. Mereka lakukan banyak pengorbanan, bekerja keras dan semalam adalah sesuatu yang mereka layak. Mereka benar-benar layak dapat keputusan itu dan layak ke pusingan akhir AFC,” tambah Maloney lagi.

Daripada 48 pasukan bertanding dalam kelayakan ini, hanya 16 pasukan, termasuk pasukan tuan rumah dan 11 juara kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua terbaik (lima jika Uzbekistan menjuarai Kumpulan F) akan layak ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Untuk rekod, Malaysia layak 23 kali ke kejohanan itu (dulu dikenali sebagai Kejohanan Remaja AFC) sejak dimulakan pada 1959 dan pada edisi tahun lepas di Indonesia, Malaysia tewas di peringkat kumpulan.

-- BERNAMA