Ketua jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, mendedahkan beberapa pemain sudah mula menarik perhatiannya ketika terikat 2-2 dengan Selangor United dalam perlawanan persahabatan di Padang Wisma FAM, semalam.

Pengendali kelahiran Australia itu, bagaimanapun, menganggap ia hanya permulaan dan mahu terus melihat kemampuan pemainnya dalam baki tiga perlawanan persahabatan menentang PDRM, Terengganu FC II (TFC II) dan pasukan Liga Super, Petaling Jaya City FC.

Penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16, Luqman Hakim Shamsudin, antara pemain yang disebut-sebut oleh ketua jurulatih itu selepas meledakkan satu gol dalam perlawanan berkenaan.

"Sesetangah pemain sudah mula menunjukkan pengaruh mereka dalam pasukan.

"Kami belum menyenaraikannya lagi, jadi semua pemain masih berpeluang, namun sesetengah pemain sudah mula menyinar dan menunjukkan kualiti yang diperlukan dalam pasukan ini," katanya.

Sementara itu, Maloney optimis siri empat perlawanan persahabatan itu mampu dimanfaatkan untuk memperbaiki kelemahan pasukannya menjelang Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam bulan depan.

"Masih terlalu awal.

"Seperti yang saya katakan, ini merupakan kali pertama kumpulan pemain ini beraksi bersama.

"Sentiasa ada perkara untuk diperbaiki dan waktu itu akan tiba," tambahnya.