Maloney: Malaysia tidak pertaruh kekuatan individu

Oleh Staff Writer 11 November 2019 7686
Maloney: Malaysia tidak pertaruh kekuatan individu
Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, menganggap anak buahnya cemerlang mengatasi kepayahan berdepan Thailand semalam menerusi kekuatan beraksi sebagai satu pasukan dan bukan bersandarkan kepada kekuatan individu semata-mata.

Sebaik Supanat Mueta kembali dipanggil untuk membantu Thailand berdepan Malaysia dalam perlawanan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Stadium Nasional Olimpik Phnom Penh itu petang semalam, jelas sekali kekuatan Thailand tidak bersifat keseluruhan.

Ia gambaran jelas buat kem kebangsaan yang sudah dapat membaca situasi itu di mana lawan sudah menekan butang panik lebih awal sebelum sepak mula.

Daripada segi mental, skuad negara sedar mereka berada dalam kedudukan yang cukup baik dan hanya 90 minit  perlu disudahkan dengan keputusan positif.

"Kami berbincang mengenai identiti yang ingin dicipta dengan barisan pemain ini. Setiap perlawanan yang dihadapi, kami terapkan apa yang telah diraih ketika sesi latihan. Pemain bekerja keras," kata Maloney.

Sementara itu, pengendali Thailand, Ithsara Sritharo, terpaksa akur dengan keghirahan Malaysia yang akhirnya memecah tembok keangkuhan raja bola sepak Asia Tenggara itu.

Dalam nada kecewa, dia mengakui anak buah Maloney itu bermain lebih baik berbanding skuad bimbingannya dalam pertemuan semalam. 

"Keputusan ini tidak bagus buat kami tetapi semua pemain bekerja keras. Tahniah buat Malaysia dan selamat maju jaya," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen