Kekalahan besar Chelsea di tangan Manchester City membuatkan Uwe Rosler tersenyum lebar dan isu-isu berbangkit membuatkan pengendali berbangsa Jerman itu percaya Malmo mampu mengeksploitasi situasi berkenaan sempena pertembungan kedua-dua pasukan dalam Liga Europa.

City, bekas kelab yang diwakili Rosler, membelasah pesaing Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka itu 6-0 Isnin lalu untuk kembali ke puncak liga dan menjejaskan usaha skuad bimbingan Maurizio Sarri itu untuk mengukuhkan tempat dalam kelompok empat pasukan teratas.

Sarri berasakan banyak kesilapan yang dilakukan pemainnya dalam aksi di Stadium Etihad itu dengan melabel gaya bertahan pasukannya sebagai "bodoh".

Tekanan ke atas pengurus dari Itali itu semakin meningkat saban hari tetapi dia tetap berkeras bahawa gaya bola sepaknya serasi di Stamford Bridge.

The Blues akan berkunjung ke Malmo untuk pertemuan pertama pusingan 32 Liga Europa berkenaan, sehubungan itu Rosler percaya pasukannya mampu menambah tekanan terhadap Sarri.

"Saya gembira," kata Rosler dalam sidang media pra-perlawanan ketika ditanya mengenai aksi Chelsea menentang City.

"Ia bukan satu rahsia lagi mengenai hubungan dan perasaan saya dengan Manchester City. Ia adalah satu kegembiraan untuk menonton perlawanan itu."

Ketika ditanya mengenai peluang pasukannya menentang Chelsea, Rosler menambah: "Saya tidak fikir kami boleh berdepan Chelsea secara terbuka. Dengan tekanan yang diberikan, mereka boleh membuatkan perlawanan ini menjadi sangat sukar untuk pasukan seperti kami.

"Oleh itu, adalah penting untuk kami menyasarkan di kawasan yang betul dengan mengenal pasti di manakah mereka akan menekan kami dan bagaimana kami boleh keluar daripada tekanan mereka. Saya fikir kami akan mendapat peluang.

"Kami sempat menyaksikan pendekatan Bournemouth (yang mengalahkan Chelsea 4-0) kerana formasi mereka mirip dengan kami. Saya telah mengenal pasti di manakah kedudukan yang kami boleh cetuskan masalah.

"Kami akan turun 'tanpa menghormati' mereka. Kami perlu beraksi dengan agresif, sama ada dengan atau tanpa bola.

"Kami mempunyai perancangan, dengan sedikit nasib dan beberapa persembahan yang luar biasa, kami berpeluang untuk merakamkan kemenangan."