Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan skuad negara akan berdepan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November depan.

Perlawanan itu akan melengkapkan enam aksi persahabatan antarabangsa skuad negara sebagai persediaan ke Piala Suzuki AFF 2018.

"Kami telah mengesahkan Malaysia akan berdepan Maldives pada 3 November ini bagi melengkapkan persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF," kata Hamidin.

Ia juga akan menjadi ujian terakhir skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sebelum terbang ke Phnom Penh bagi aksi sulung bertemu Kemboja pada 8 November.

Hamidin ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas mengetuai delegasi FAM ke Moscow untuk Kongres Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke-68 baru-baru ini.