Paolo Maldini dilantik selaku Pengarah Teknikal AC Milan sementara Zvonimir Boban akan menggalas jawatan sebagai ketua pegawai bola sepak yang baru diwujudkan.

Legenda Milan itu tiba untuk menggantikan Leonardo selepas bekas pemain Brazil berkenaan kembali memainkan peranan serupa di bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG).

Boban, yang mewakili Milan di antara 1991 dan 2001, sanggup meninggalkan jawatannya selaku timbalan setiausaha agung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) demi kembali ke Milan.

Maldini sempat bertugas sebagai Pengarah Strategi Sukan dan Pembangunan Milan tetapi Ketua Eksekutif Kelab, Ivan Gazidis, berasakan dia adalah orang yang tepat untuk menggantikan Leonardo.

"Paolo merangkumi kualiti dan nilai-nilai yang menjadi asas kepada struktur kelab ini," katanya kepada laman sesawang rasmi Milan.

"Saya gembira kerana dia memimpin bahagian sukan kelabnya.

"Dengan kehadirannya, kami akan dapat membina sebuah kelab moden yang dibentuk oleh ahli profesional berkualiti tinggi. Ini akan menjadi satu perjalanan dalam usaha kami mencapai satu projek yang mencabar serta menarik yang memerlukan tenaga dan dedikasi yang besar.

"Saya yakin Paolo akan menggunakan pengalaman, visi dan kepimpinannya. Paolo merupakan sebahagian daripada AC Milan dan tahu perjalanan menuju kejayaan. Dia akan menjadi sumber rujukan utama bagi semua pihak."

Boban dan Maldini akan saling bekerjasama rapat di belakang tabir Rossoneri.

"Saya sangat gembira untuk kembali ke Milan yang saya kasihi dan saya akan curahkan sumbangan untuk meletakkan kelab ini di mana ia sepatutnya berada," kata Boban dalam satu kenyataan.

"Milan harus menjadi kelab terkemuka dan juara kerana ia merupakan sebahagian daripada elemen dalam sejarah, peminat dan semangat mereka. Dengan itu, saya akan mencurahkan segala kudrat buat Rossoneri.

"Sebaik Paolo menghubungi saya untuk memastikan situasi saya, saya lantas pergi ke rumahnya di Milan pada pertengahan malam.

"Selepas bercakap dengan Ivan dan kelab, segalanya menjadi jelas. Saya berada di kampung halaman, kelab yang saya cintai dan tempat yang telah memberikan saya kejayaan. Saya harap boleh membayar semula kepercayaan yang diberikan."

Milan masih mencari pengganti kepada Gennaro Gattuso sebagai pengurus dan mereka dilaporkan sangat tertarik untuk melantik Marco Giampaolo daripada Sampdoria.