Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Datuk Seri Azzuddin Ahmad, menggesa pihak Malaysia tidak menuding jari dan melatah kerana nyata tidak bersetuju isu terbaru diperbesarkan yang pada hematnya hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Bukan bermakna beliau bersetuju dengan insiden yang berlaku, Azzuddin sebaliknya menyarankan agar pihak yang terlibat lebih tenang dalam menangani keadaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam menyatakan kesal dengan apa yang didakwa tindakan melampau penyokong Indonesia yang dikatakan menghina Malaysia.

Penyokong skuad republik itu didakwa melaungkan sorakan berbunyi "Malaysia itu anjing" ketika perlawanan sulung skuad B-16 kebangsaan kendalian Raja Azlan Shah Raja So'ib dalam Kejohanan B-16 AFF 2018 bertemu Thailand di Surabaya, malam kelmarin.

Jika melihat kepada sejarah lalu, isu sebegini sebenarnya sudah sebati dengan pemain bola sepak negara dan persediaan setiap kali berhadapan Indonesia akan melewati situasi berbeza menerusi provokasi penyokong daripada kedua-dua negara.

Tambah Azzuddin, reaksi kurang matang oleh sesetengah pihak hanya akan mengeruhkan lagi keadaan yang sedang panas.

"Pihak Indonesia bukanlah baru dalam arena bola sepak.

"Segala peraturan yang digariskan dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsan (FIFA), Persatuan Bolasepak Asia (AFC) dan AFF telah cuba dilaksanakan, termasuk kawalan keselamatan.

"Tidak wajar untuk kita membesar-besarkan isu ini," ujarnya.

Tegas Azzudin, dengan menuding jari menyalahkan AFF dan AFC adalah sesuatu yang tidak wajar ketika mereka sudah pun mengambil langkah berjaga-jaga terhadap rentetan isu yang berlaku semasa penganjuran Kejohanan Piala AFF B-19, juga di Surabaya, bulan lalu.

"Surat kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) telah dihantar pada 20 Julai lalu.

"AFF telah mengambil tindakan proaktif supaya insiden seumpama ini tidak berulang," tambahnya.

Isu bendera terbalik di media sosial membabitkan pemain negara, Amirul Ashraf Hanifah, juga antara punca walaupun ia berlaku secara sengaja atau sebaliknya.

Walaupun pemain berkenaan sudah membuat permohonan maaf tetapi tidak semua rakyat Indonesia menerima permohonan maaf itu secara terbuka.