Kamera beberapa kali memfokus kepada Tan Cheng Hoe dengan pelbagai gelagatnya di tepi padang – menempikkan arahan, mengangkat isyarat tangan sebagai meluahkan rasa tidak puas hati atau sekadar bercekak pinggang seakan-akan menerima apa saja kesudahan buat pasukannya.

Dan sesekali kamera televisyen menunjukkan rakan sejawatannya, Park Hang-seo, duduk di kerusi jurulatih dengan membiarkan saja kepada pemain melakukan apa saja yang sudah diarahkannya.

Dua visual berlawanan itu memadai untuk menceritakan kesimpulan daripada perlawanan di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam ini yang dimenangi tuan rumah itu 1-0 tanpa Malaysia menghadirkan apa-apa ancaman.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengandaikan Malaysia sebenarnya takut untuk berdepan Vietnam – lawan yang tiga kali gagal ditundukkan mereka di gelanggang lawan itu sepanjang kempen Piala Suzuki AFF tahun lalu.

Berlawanan dengan apa yang digembar-gemburkan ketua jurulatih Harimau Malaya itu mahupun pemainnya sebelum perlawanan, barisan negara masih tidak berupaya menembusi tembok psikologi berdepan Vietnam hingga apa yang pernah mereka pertontonkan sewaktu menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di peringkat kumpulan ini sebelumnya gagal diulangi.

Semangat melawan tidak pun terserlah, kesungguhan untuk mengimbangi perlawanan tidak terlalu ketara, apatah lagi DNA bola sepak Malaysia yang memulakan gerakan dari bawah dengan bersulamkan hantaran-hantaran pendek langsung tidak menjadi.

Vietnam – pasukan yang mara sejauh suku akhir dalam kempen Piala Asia di UAE, Januari lalu – memiliki lebih keinginan untuk memenangi perlawanan ini. Seri 0-0 di gelanggang Thailand dalam perlawanan pertama, hanya kemenangan dicari mereka sebagai pembuka kempen di tempat sendiri.

Sebaliknya, Malaysia bermain seolah-olah bukan dengan niat mencari kemenangan tapi semata-mata untuk mengelakkan kekalahan. Kesudahannya, mereka tidak mendapat kedua-duanya.

Barangkali tidak keterlaluan juga untuk merumuskan taktikal Hang-seo jauh mengatasi Cheng Hoe pada ketika keinginan dan keupayaan menyerang pemain-pemainnya langsung lekang untuk menerbitkan harapan sekalipun untuk mendapat satu mata.

Norshahrul Idlan Talaha gagal menggerunkan tuan rumah dengan potongan rambut barunya, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh langsung ditenggelami sambil wira hatrik Sabtu lalu, Syafiq Ahmad, langsung tidak diberi ruang untuk menoleh.

Runtuhnya barisan serangan negara, yang diburukkan lagi oleh hilangnya penguasaan bahagian tengah, mendatangkan ancaman amat besar hinggakan kedua-dua pertahanan sayap, Matthew Davies dan Corbin Ong, yang sebelumnya kerap naik membantu serangan, tidak berpeluang melakukannya kerana sibuk bertahan.

Akibatnya, bola yang dihantar ke depan akan segera kembali ke kawasan sendiri dan tanpa Vietnam menyerlahkan permainan terbaiknya sekalipun, pertahanan dan pintu gol negara lambat-laun akan bolos juga.

Itu berlaku pada minit ke-39 apabila daripada satu lambungan kapten, Que Ngoc Hai, pertahanan, Shahrul Saad, yang teragak-agak membolehkan Nguyen Quang Hai memintasnya untuk menyepak masuk melepasi terpaan Farizal Marlias.

Tiada silapnya seruan Cheng Hoe bahawa kerjasama sepasukan menjadi taktikalnya, begitu juga Norshahrul yang berpegang kepada semangat untuk menamatkan kemarau kemenangan atau Mohamadou Sumareh yang diuar-uarkan mahu melepaskan geram.

Silapnya semua yang dilaungkan itu gagal diterjemahkan kesebelasan negara malam ini.

Pada penghujungnya, Vietnam terserlah selaku pasukan yang lebih baik dan hanya tidak bernasib baik untuk menambah jaringan apabila sepakan Nguyen Anh Duc dalam keadaan kelam-kabut di depan gol pada minit ke-72, sempat ditampan Shahrul daripada menerjah jaring.

Kredit foto: FAMalaysiaOfficial