"Pemain negara masih kekurangan kemahiran yang diperlukan dalam bola sepak pantai," kata jurulatih bola sepak pantai kebangsaan, Ismail Zakaria, ketika pasukannya dalam persiapan menghadapi Kejohanan AFC di Terengganu, awal bulan depan.

Pandangan Ismail itu berdasarkan pembabitan skuad negara dalam Kejohanan Thailand Five di Bangkok, 11 hingga 17 Februari lalu.

Kejohanan yang turut disertai Jepun, Hungary serta tuan rumah, Thailand, itu menyaksikan skuad negara meraih kedudukan ketiga.

Ismail berkata Malaysia masih jauh kekurangan jika dibandingkan dengan Jepun dan Hungary, terutama dalam kemahiran mereka mengawal bola.

"Kami mendapat tiga perlawanan yang bermutu, di mana kami bermain dengan Jepun, Hungary dan Thailand. Banyak perkara yang pemain boleh belajar, terutama kemahiran bola pantai.

"Kalau kita lihat, kemahiran bola pantai di Malaysia agak kurang tetapi tidak di Jepun dan Hungary. Mereka memang hebat dalam sukan ini."

Skuad bola sepak pantai negara ketika ini meneruskan kem latihan di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu dengan 15 pemain berada dalam senarai.

Tiga pemain akan digugurkan Ismail bagi menghadapi Kejohanan AFC nanti, bagaimanapun, beliau mahu menggunakan dua aksi persahabatan menentang Iraq dan Jepun tidak lama lagi sebelum membuat penilaian.

Keputusan round robin

Malaysia 5-7 Thailand
Malaysia 0-15 Jepun
Malaysia 2-6 Hungary

Keputusan tempat ke-3/4

Malaysia 5-5 Thailand
(Malaysia menang penentuan penalti 3-2)