Pemain negara beraksi bukan untuk wang ringgit, kata pengurus skuad kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menjelang perlawanan menentang Thailand dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Semalam, Nadi Arena melaporkan bahawa ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, percaya sepenuhnya kepada kematangan pemainnya untuk menentang Thailand biarpun skuad Gajah Perang itu melancarkan serangan psikologi dengan menawarkan ganjaran sebanyak RM1 juta seandainya barisan pemain mereka menewaskan Malaysia.

Ia seakan-akan mencabar kredibiliti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun Yusoff percaya komitmen pemain negara tidak akan terjejas demi semangat "lencana di dada".

"Saya fikir mengenai soal ganjaran ini, tidak bolehlah sekiranya mereka beri (RM) sejuta kita beri dua juta.

"Saya rasa ia bukan soal ganjaran dan setiap pemain kami juga sudah maklum bahawa jika ada bonus, ia sekadar pembakar semangat.

"Tetapi bukan nilai wang yang menjadi pertaruhan.

"Ia lebih kepada semangat untuk mewakili negara dan bermain bersungguh-sungguh.

"Saya lihat setiap pemain amat bersemangat untuk melepasi (peringkat) kelayakan ini," katanya.

Terdahulu, Yusoff hadir menyaksikan latihan rasmi skuad negara di Stadium Nasional hari ini.

Ia merupakan persiapan terakhir menjelang pertemuan itu dan skuad kendalian Cheng Hoe berkenaan kelihatan cukup yakin dan bermotivasi tinggi untuk menyekat kecemerlangan skuad Gajah Perang itu.