Malaysia berhak untuk menang atau sekurang-kurangnya meraih keputusan seri selepas menampilkan persembahan terpuji ketika berhadapan pasukan gergasi Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Namun, kegagalan ‘membunuh’ perlawanan lebih awal dengan beberapa peluang keemasan gagal disempurnakan dalam tempoh 25 minit pertama permainan menyaksikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu terpaksa akur tewas 1-2 dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Keputusan penuh perlawanan itu amat pahit untuk ditelan penyerang negara, Syafiq Ahmad, yang optimis Harimau Malaya mampu melakar kejutan, terutama selepas dia meletakkan Malaysia di hadapan seawal 34 saat permainan berlangsung.

"Bagi saya, berdasarkan apa yang ditampilkan, pasukan negara layak menang tetapi seperti semua orang cakap bahawa bola sepak itu bukan sesuatu yang boleh dijangka.

"Apa yang dilakukan pasukan pada malam ini dengan rakan sepasukan yang sudah berusaha sehabis baik. Itulah bola sepak... kami telah jaringkan gol awal dan ia masih tidak cukup untuk mengatasi pasukan lawan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Untuk rekod, Syafiq yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjaringkan satu gol ketika membantu Malaysia menumbangkan musuh tradisi, Indonesia, 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

Dalam aksi malam tadi, penyerang UAE, Ali Ahmed Mabkhout, menjadi wira pasukan menerusi dua gol dijaringkan pada minit ke-43 dan minit ke-75 untuk melengkapkan malam kebangkitan Al-Abyad (The Whites) di hadapan 43,200 penyokong tuan rumah.

Dua gol dijaringkan Ali Ahmed itu hadir hasil kelalaian dan kesilapan mudah barisan pertahanan negara, sekali gus harapan melihat Malaysia meneruskan momentum kemenangan di Jakarta tidak kesampaian.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia turun ke kedudukan ketiga dalam kumpulan, berkongsi tiga mata bersama UAE dan hanya dipisahkan satu mata daripada pendahulu, Thailand, yang membenam Indonesia 3-0 dalam satu lagi aksi kumpulan, semalam.

Juara Piala AFF 2018, Vietnam, di tempat keempat dengan satu mata selepas hanya mengharungi satu perlawanan.

Malaysia akan bertandang ke Hanoi bulan depan untuk aksi ketiga kumpulan berdepan Vietnam yang dijadual berlangsung pada 10 Oktober.

-- BERNAMA

Kredit foto: FAM