Malaysia menebus kekecewaan tewas 2-0 di tangan Thailand dalam aksi final edisi tahun lalu apabila menewaskan Myanmar 4-3 di pentas akhir Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun di Gelora Delta Sidoarjo, sebentar tadi.

Setelah menyingkirkan tuan rumah, Indonesia, dalam separuh akhir, Malaysia turun dengan semangat membara dan membuka tirai jaringan seawal minit keempat selepas Awang Muhammad Faiz melepaskan rembatan lencong yang gagal diselamatkan penjaga gol, Zin Nyi Nyi.

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Shahiran Nik Mat, menambah kelebihan skuad kebangsaan pada minit ke-19 selepas melepaskan rembatan leret dari dalam kotak penalti untuk sekali lagi membuatkan Nyi Nyi tertewas.

Bagaimanapun, kesilapan ketika melakukan hantaran pendek menghukum skuad bimbingan Bojan Hodak itu apabila Win Naing Tun mencuri bola sebelum mudah mengatasi halangan Muhammad Azri Abdul Ghani untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-24.

Dua minit kemudian, Myanmar sekali lagi menghukum kealpaan benteng Malaysia, kali ini hasil sumbangan kapten pasukan, Myat Kaung Khant, selepas tenang mengutip bola lambungan Naing Tun dari sebelah kiri, sebelum pemain berusia 17 tahun itu melakukan sepakan sudut yang terus menerjah jaring gol pada minit ke-31.

Gol penyamaan yang dicari-cari Malaysia akhirnya menyusul ketika permainan berbaki 15 minit.

Sepakan sudut yang diraih anak-anak buah Hodak dari sebelah kanan menyebabkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti dan Shivan Pillay Asokan mengambil kesempatan untuk terus melepaskan rembatan dari jarak dekat bagi menjadikan kedudukan 3-3.

Myanmar berpeluang untuk menjadikan kedudukan 4-3 pada minit ke-88 tetapi rayuan sepakan penalti tidak diendahkan pengadil perlawanan walaupun Hein Htet Aung mendakwa dia dijatuhkan oleh Shivan.

Gol kemenangan akhirnya tiba buat anak-anak buah Hodak ketika aksi memasuki waktu kecederaan apabila sepakan percuma Nik Akif gagal diselamatkan oleh Nyi Nyi, sekali gus memberikan status juara yang pertama buat Malaysia dengan kemenangan dramatik 4-3 selepas lima kali gagal di pentas akhir.