MALAYSIA 1 FIJI 0

Harimau Malaya melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi persahabatan antarabangsa selepas menewaskan Fiji 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.


Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, menurunkan barisan termuda untuk perlawanan ini apabila menampilkan lima bekas pemain skuad B-23 negara membarisi kesebelasan utama dengan Syafiq Ahmad bertindak sebagai penyerang tunggal sementara penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat, kembali beraksi.

Di sebalik permulaan permainan yang cemerlang, tuan rumah hampir ketinggalan pada minit ke-10 gara-gara kesilapan Irfan Zakaria memberikan ruang kepada Kavaia Rawaqa berada dalam situasi satu lawan satu dengan Khairul Fahmi, namun percubaannya sekadar terkena tiang gol.

Malaysia mengawal rentak permainan, dengan Syazwan Zainon berjaya melakukan hantaran silang yang disempurnakan oleh Syafiq tetapi penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu mengalami kecederaan dan digantikan oleh Shafiq Shaharudin.

Cheng Hoe melakukan dua perubahan dengan menggantikan Khairul Fahmi dengan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Wan Zack Haikal Wan Nor menggantikan Shafiq untuk mendapatkan nafas baru bagi baki perlawanan.

Pada minit ke-60, Wan Zack berjaya menemui ruang untuk melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Fiji, Misiwane Nairube, tetapi jaringan itu dibatalkan kerana dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Selepas itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun ketumpulan di bahagian hadapan mengakibatkan tiada gol tambahan dihasilkan dan keputusan akhir kekal memihak kepada Malaysia.

Walaupun Harimau Malaya hanya mencatat kemenangan tipis, kejayaan malam ini amat bermakna kerana Fiji menduduki ranking lebih baik daripada pasukan kebangsaan dan pastinya ia akan melonjakkan ranking negara yang ketika ini menghuni tangga ke-175 dunia.

Selepas perlawanan malam ini, skuad Harimau Malaya akan menghadapi lima lagi perlawanan persahabatan bertemu Taiwan pada 7 September depan, Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober), Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November).