Jurulatih Panama, Hernan Dario Gomez, tidak nampak kebocoran maklumat mengenai kesebelasan utama England yang bakal dihadapi nanti menjadi kelebihan kepada pemainnya.

Gareth Southgate tampil menasihati beberapa pengamal media selepas satu helaian maklumat tentang rombakan kesebelasan utamanya mula tersebar luas menjelang pertemuan di Nizhny Novgorod itu.

Namun, Gomez menegaskan bahawa beliau hanya akan menerapkan sedikit perbezaan dalam skuad utama bagi menghadapi skuad The Three Lions itu disebabkan kualiti yang dimiliki mereka.

"Saya fikir ia tidak memberikan kelebihan kepada saya," katanya dalam sidang akhbar. "Setiap jurulatih perlu memastikan mereka 100 peratus bersedia tanpa mengira lawan.

"Kebimbangan saya adalah mengenai anak buah saya yang telah beraksi dengan baik. Mereka tetap berpegang dengan gaya mereka dan terus berusaha dengan baik. Kami melihat rakaman perlawanan lawan kami tetapi apa yang mereka lakukan bukanlah keutamaan kami.

"Tidak kira siapa yang bermain, penggantinya akan sama taranya, saya akan memberi tumpuan kepada setiap pemain mereka. Kesemunya adalah bintang."

Panama dibelasah 0-3 oleh Belgium dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G, namun Gomez berpendapat England merupakan ujian paling sukar mereka.

Malah, jurulatih berusia 62 tahun itu menyifatkan England sebagai calon untuk mencapai peringkat kedua di Russia memandangkan gabungan positif bakat muda dan kekuatan kolektif mereka.

"Pastinya (mereka boleh melangkah jauh). Mereka adalah salah sebuah pasukan pilihan saya," katanya.

"Bagaimanapun, sebelum Piala Dunia lagi, saya menyedari mereka adalah pasukan hebat. Ini barisan muda, mereka telah bermain bersama-sama sejak di peringkat remaja lagi.

"(Aksi malam esok) akan menjadi sangat sukar buat kami. Kami telah menonton video perlawanan membabitkan England, mereka bekerja sangat keras, mereka adalah pasukan yang penuh taktikal. Mereka beraksi pantas dan mempunyai gaya sentuhan yang menakjubkan. Ia perlawanan paling rumit.

"Kami perlu 100 peratus tumpuan lebih daripada 90 minit atau kami akan mengalami banyak masalah. Mereka tidak mempunyai ramai bintang individu seperti Belgium tetapi mereka bekerja dengan baik sebagai sebuah pasukan, khususnya ketika cuba merampas bola."

Begitupun, pemain tengah, Edgar Barcenas, berpendapat Panama akan semakin baik kerana mereka telah mengatasi perasaan gemuruh semasa aksi sulung.

"Perlawanan pertama selalunya mencetuskan sedikit gemuruh tetapi itu semua sudah dilupakan," katanya.

"Kami tahu kami perlu menikmati sesuatu, itulah cara kami bermain. Memang benar kami berdepan kumpulan yang sukar tetapi untuk menang atau bermain dengan selesa menuntut banyak perkara lain lagi, kami perlu menikmati setiap saat dalam Piala Dunia ini."