BELGIUM 3 PANAMA 0

Dries Mertens menjaringkan gol menakjubkan manakala Romelu Lukaku meledak dua kali ketika Belgium memulakan kempen Kumpulan G dengan kemenangan 3-0 ke atas Panama dalam aksi Piala Dunia 2018 di Sochi, awal hari ini.


Belgium yang mengharungi kempen kelayakan tanpa kalah, merupakan wakil Eropah pertama yang menempah tempat dalam temasya Russia 2018.

Bagaimanapun, pasukan kendalian Roberto Martinez itu bergelut untuk menembusi tembok akhir Panama dalam separuh pertama di Stadium Fisht dan memerlukan detik ajaib daripada Mertens untuk memecah kebuntuan pada minit ke-47.

Panama hampir menghukum seteru mereka itu dengan kadar segera, mujur Thibaut Courtois cekap untuk menghalang tendangan rendah Michael Murillo sebelum Lukaku dua kali menemui sentuhan penyudah dalam tempoh enam minit untuk memuktamadkan kemenangan mereka.

Lukaku terlebih dahulu menanduk masuk umpanan mengelirukan Kevin De Bruyne sebelum penyerang Manchester United itu menyungkit bola ke dalam pintu gol yang sudah terbuka sambil Panama masih boleh berpuas hati dengan mutu persembahan mereka menjelang aksi dengan England dan Tunisia.

Skuad generasi emas bimbingan Martinez dilabel sebagai pasukan pilihan, namun Belgium -- yang dikecewakan Wales dalam suku akhir Euro 2016 -- mungkin perlu meningkatkan prestasi ketika berdepan lawan lebih handal.

Panama memulakan penampilan sulung mereka dalam sejarah Piala Dunia dengan goyah apabila memberi ruang kepada Yannick Carrasco dan Mertens, sekali gus menuntut ketangkasan penjaga gawang, Jaime Penedo.

Eden Hazard kemudian beroleh peluang, namun percubaannya sekadar menyentuh jaring luar susulan hantaran ke belakang yang lemah oleh ketua pasukan Panama, Roman Torres, disusuli hantaran De Bruyne yang gagal dibaca oleh Lukaku.

Hazard masih tumpul apabila tendangan padunya pada minit ke-26 diselamatkan selepas dicabar Murillo dan Torres.

Panama terus selesa untuk mematahkan serangan Belgium apabila Penedo sempat menghalang percubaan Hazard dengan kakinya.

Belgium masih bergelut untuk jaringan pembukaan dalam separuh masa pertama tetapi sebaik dua minit permainan bersambung, mereka mendahului perlawanan.

Panama gagal mengeluarkan bola ke kawasan selamat dan bola lantunan itu jatuh di hadapan Mertens untuk penggempur Napoli itu melancarkan satu tendangan voli dari sebelah kanan kotak penalti.

De Bruyne nyaris melebarkan kelebihan Belgium, namun sepakan percumanya dari jarak 25 meter sedikit tersasar di sudut kanan pintu gol yang dikawal Penedo.

Pemain sayap, Carrasco, yang ditugaskan mengawal bahagian pertahanan melakukan kesilapan sehingga membolehkan hantaran Edgar Barcenas 'melewati kepalanya', namun Courtois sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan daripada Murillo.

Ia menjadi peluang terbaik Panama untuk merakamkan keputusan seri dan situasi itu menyemarakkan semangat Belgium untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-69 setelah Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Lukaku tidak berada di kedudukan ofsaid.

Hazard dan De Bruyne kemudian bergabung di pinggir kotak penalti dan mencipta hantaran menarik untuk Lukaku -- yang mencetak 11 ​​gol dalam pusingan kelayakan -- melakukan satu tandukan mudah.

Belgium kemudian menghukum Panama yang kehilangan bola di kawasan sendiri dengan serangan balas klinikal yang diilhamkan Hazard untuk Lukaku meluru ke hadapan gol sebelum memperdayakan Penedo buat kali kedua, sekali gus membuktikan bahawa Belgium adalah ancaman utama dalam Piala Dunia kali ini.