Real Madrid melengkapkan perpindahan bintang muda Brazil, Reinier Jesus, daripada Flamengo.

Penyerang itu telah lama dikaitkan dengan Madrid dan perpindahan bernilai €30 juta (RM135.12 juta) itu terlaksana apabila dia genap berusia 18 tahun kelmarin.

Ketibaan Reinier di Madrid disahkan awal pagi tadi dengan kontrak selama enam setengah tahun di Santiago Bernabeu.

Dia menjaringkan enam gol daripada 14 penampilannya buat Flamengo dalam Serie A Brazil tahun lalu.

Sepanjang tempohnya bersama skuad senior Flamengo, Reinier telah memiliki gelaran Brasileiro dan Copa Libertadores.

Dia juga menjadi sebahagian pemain pasukan itu yang hampir menjuarai Piala Dunia Kelab sebelum tewas 0-1 kepada Liverpool dalam final bulan lalu.

Pemain tengah dengan teknikal, kreativiti dan kekuatan fizikal itu mula mencuri tumpuan ketika mewakili Brazil dalam Kejohanan Amerika Selatan B-17 tahun lalu.

Ketika mengetuai pasukan kebangsaannya, Reinier menjaringkan tiga gol walaupun Brazil kecewa tidak dapat melepasi peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan Kumpulan B itu di tangga keempat.

Walaupun dikaitkan dengan Madrid, dia menandatangani kontrak dengan Flamengo, November lalu dengan klausa perpindahan dilaporkan bernilai €35 juta (RM157.63 juta).

Madrid mengesahkan Reinier akan membarisi pasukan sokongan, Real Madrid Castilla, selepas tamat Kejohanan Pra-Olimpik awal bulan depan.



Editor: Muzaffar Musa