Real Madrid perlu menemui semula "keinginan untuk berjaya" selepas kekecewaan musim lalu, kata presidennya, Florentino Perez.

Pasukan itu menamatkan LaLiga musim lalu di tempat ketiga dengan tiga jurulatih yang dilantik tidak mampu menyelamatkan kempen mereka.

Julen Lopetegui hanya bertahan sehingga Oktober lalu sebelum penggantinya, Santiago Solari, dipecat Mac lalu untuk membenarkan Zinedine Zidane kembali mengemudi pasukan itu.

Namun, tidak banyak dapat dilakukan pengendali berbangsa Perancis itu apabila menamatkan musim dengan ketinggalan 19 mata di belakang juara, Barcelona.

Madrid turut disingkirkan Ajax dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dan gagal mempertahankan kejuaraan yang sebelumnya dimenangi mereka sebanyak tiga kali berturut-turut.

Perez menggesa agar semangat untuk memenangi kejuaraan itu dikembalikan.

Dalam ucapannya ketika persidangan umum pasukan itu, Perez berkata: "Ini adalah pasukan yang bersatu dan itulah kekuatan kita, kekuatan 'madridismo'.

"Kita perlu faham bahawa kelab ini telah memenangi segala-galanya yang perlu dimenangi sepanjang sejarah unik itu di mana kita telah menjulang 17 kejuaraan sepanjang sembilan musim lalu. Sesuatu yang hampir mustahil untuk diulangi.

"Ia adalah musim yang sukar dan kita semua perlu memainkan peranan kerana kita perlu mengubah situasi di sekeliling.

"Jangan pernah ragu-ragu kerana kita akan berjaya.

"Dengan meletakkan keinginan yang tinggi dalam diri, kita perlu memulakan transformasi yang akan membenarkan segenap 'madridistas' (penyokong Madrid) untuk kembali mengimpikan kejayaan dan kejuaraan baru.

"Cabaran kita adalah untuk terus memenangi kejuaraan peringkat antarabangsa yang sudah semakin mencabar.

"Dan sudah pasti, kita perlu mengembalikan nafsu untuk berjaya.

"Keinginan itu menjadi faktor utama di mana kita menikmati salah satu era terbaik dalam sejarah," katanya.