Toni Kroos mengakui Bayern Munich membuatkan Real Madrid menderita dalam perjalanan mereka ke separuh akhir pertama Liga Juara-Juara sungguhpun menang 2-1 di Allianz Arena, awal pagi tadi.

Madrid kini mencatat kemenangan keenam berturut-turut ke atas Bayern dalam saingan utama Eropah dan ini bukan kali pertama mereka menghukum Bayern, justeru tuan rumah berhak berasa kesal memandangkan mereka mencipta lebih banyak peluang dan dihukum oleh kesilapan.

Bayern gagal menambah bilangan gol selepas memecah kebuntuan menerusi Joshua Kimmich pada minit ke-28 sebelum Marcelo mengimbangi kedudukan sebelum rehat.

Kesilapan Rafinha yang gagal mengawal Marco Asensio mengundang padah apabila pemain gantian tersebut menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-57 untuk memberikan Madrid kelebihan penting di Santiago Bernabeu, dalam tempoh enam hari.

"Memang benar, saya fikir mereka mempunyai lebih banyak peluang daripada kami tetapi ia perkara biasa jika anda bermain dalam separuh akhir Liga Juara-juara," kata bekas pemain tengah Bayern, Kroos, kepada BT Sport.

"Mereka memilih barisan yang sangat ampuh dan itulah yang kami harapkan. Mereka meletakkan kami di bawah tekanan dari minit pertama lagi.

"Kami boleh bermain lebih baik, terutama dengan bola. Kami tidak mempunyai cukup kepakaran untuk menghasilkan permainan yang sangat baik, namun pada akhirnya anda perlu mencetak gol.

"Kami melakukannya dan kami membawa balik keputusan yang baik. Kami memanfaatkan peluang pada saat-saat getir.

"Dalam beberapa ketika, kami bermain bola sepak yang bagus, namun masih belum memenuhi kemampuan sebenar kami. Jika anda tidak dapat melakukannya, maka anda perlu bekerja keras," katanya lagi.

Sementara itu, Zinedine Zidane mengakui resah apabila pemain tengahnya, Isco, dilanda kecederaan bahu.

"Isco menghadapi masalah bahu. Dia tidak berasa selesa sejak awal permainan maka kami menggantikannya ketika rehat," katanya.