Pep Guardiola tidak mahu melihat dominasi Inggeris dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menerusi kemenangan Liverpool ke atas Bayern Munich.

City menyingkirkan lawan daripada Bundesliga awal pagi tadi yang menyaksikan dua jaringan Sergio Aguero membelasah Schalke 7-0 -- kemenangan agregat kedua terbesar dalam sejarah pertandingan, 10-2.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan mengiringi Tottenham dan Manchester United manakala Liverpool akan turun beraksi menentang Bayern di Allianz Arena, awal pagi esok, selepas terikat tanpa jaringan dalam pertemuan pertama.

Biarpun saling bersaing sengit mencabar kejuaraan domestik, ia tidak mengundang simpati Guardiola yang menawarkan sokongan kepada jaguh Bundesliga berkenaan.

"Saya minta maaf kepada peminat Inggeris, saya mahu Bayern mara," kata pengurus City itu dalam sidang akhbar pasca perlawanan menentang Schalke.

"Saya pernah menjadi sebahagian daripada kelab itu, saya mengharungi tiga tahun yang luar biasa di sana. Saya menggemari Munich dan mempunyai ramai kawan di sana.

"Ini adalah satu perlawanan yang mencabar buat kedua-dua pasukan tetapi saya berasakan saya lebih sukakan Bayern Munich dan mudah-mudahan mereka layak.

"Daripada segi apa yang berlaku dengan wakil Sepanyol dan Jerman yang sering lolos ke final, namun musim ini agak mengejutkan.

"Mudah-mudahan Barcelona boleh melepasi halangan Lyon awal pagi esok dan melangkah ke suku akhir."

Naib juara Bundesliga musim lalu, Schalke, kini empat mata di atas zon penyingkiran Bundesliga musim ini dan Domenico Tedesco mendapati prestasi barisan pemainnya merudum selain keyakinan rendah.

Bagaimanapun, ia adalah satu kemenangan untuk City dalam kejohanan yang mereka sering tenggelam.

"Sebagai sebuah kelab, kami masih dianggap pasukan "remaja" (dalam UCL) kerana kejayaan terbaik dalam sejarah kami adalah pernah mara sekali ke perlawanan separuh akhir," tambah Guardiola.

"Apabila anda membandingkannya dengan Liverpool, Barcelona dan Bayern Munich ... kejayaan terbaik kami adalah satu perlawanan separuh akhir.

"Begitupun, pasukan "remaja" ini mempunyai semangat, mereka mempunyai keinginan, mereka tidak takut dan faktor yang menarik."

Guardiola turut mengulas kebangkitan Juventus melalui hatrik Cristiano Ronaldo untuk membenam Atletico Madrid di Turin, awal pagi tadi, dengan menyatakan impian untuk meraih empat kejuaraan utama buat kali pertama dalam sejarah tetap berliku.

"Terima kasih banyak atas keyakinan terhadap saya. Saya memenangi dua gelaran tetapi saya kalah tujuh. Saya bukannya Real Madrid," katanya.

"Madrid sudah sudah tersingkir tetapi lihatlah Juventus. Pemain ini, Cristiano Ronaldo... dia ke sana untuk memenangi UCL.

"Dua kali mereka dikecewakan dalam perlawanan terakhir baru-baru ini. Mereka mendapatkan Cristiano untuk merealisasikan impian.

"Tekanan hebat terletak ke atas bahunya dan dia menyumbat tiga gol ketika menentang Atletico Madrid. Itulah jenis pasukan yang perlu kami hadapi."