Luis Enrique menyentak pemain-pemainnya daripada lamunan sesudah dibuai keghairahan kebangkitan bersejarah menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dengan ingatan bahawa mereka belum memenangi apa-apa lagi.

Camp Nou menjadi tuan rumah kepada satu perlawanan bersejarah Rabu lalu, dengan Barca menerbalikkan defisit 4-0 dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara untuk membenam PSG – dengan gol saat-saat akhir Sergi Roberto melengkapkan kemenangan 6-1.

Pengurus Barca itu turut meraikan kemenangan itu semahu-mahunya, berlari memasuki padang untuk menyertai keraian pemain-pemainnya, tapi lebih tenang menjelang pertemuan menentang Deportivo La Coruna kendalian Pepe Mel dalam LaLiga hari ini.

Ditanya sama ada besarnya kebangkitan Barca telah memesongkannya, Luis Enrique berkata: “Apa yang kami sedari ialah segala-galanya masih belum diputuskan.

“Ada lapan pasukan yang masih tinggal dalam Liga Juara-Juara, saingan LaLiga mungkin di antara kami dan dua pasukan lain, dan kami juga masih dalam saingan final piala (Copa del Rey).

“Itu boleh bermakna tida langsung gelaran juara atau ia mungkin bermakna tiga sekaligus. Apa yang boleh kami lakukan ialah fokus kepada apa yang harus kami lakukan menentang Deportivo."

Depor telah meraih lima mata daripada tiga perlawanan di bawah kendalian Mel dan Luis Enrique mencadangkan pertunjukan dramatik pada pertengahan minggu boleh menjadi musuh terbesar sambil mereka berusaha untuk kembali fokus.

“Ia pastinya satu kekurangan dan sesuatu yang perlu kami atasi,” tegasnya. “Tapi saya menaruh kepercayaan kepada kebijaksanaan dan pengalaman pemain-pemain saya, yang tahu kami masih perlu menangani baki musim liga dan mengekalkan tahap bola sepak yang kami mampu bermain.

"Ia akan menjadi perjalanan yang sukar untuk baki musim ini, kami perlu terus beraksi baik. Kami sedang melihat kepada keadaan pemain-pemain, mereka yang kepenatan daripada pertemuan dengan PSG. Kami perlu menganalisis semua itu.”