Atletico Madrid mengesahkan pertahanan, Lucas Hernandez, mengalami kecederaan lutut dalam kekalahan aksi 'derby' kepada Real Madrid tetapi Diego Costa menghadirkan berita gembira.

Selepas menempa kekalahan 1-3 di Wanda Metropolitano, Sabtu lalu, Lucas -- yang mengharungi keseluruhan permainan -- didapati mengalami kecederaan di bahagian tengah lutut kanannya.

Pemain Perancis itu, yang dikaitkan dengan Bayern Munich ketika jendela perpindahan bulan lalu, kembali dihantui kecederaan ligamen tengah di lutut yang dideritainya Disember lalu, namun Atletico tidak menyatakan berapa lamakah pertahanan itu akan tersisih.

Atletico akan berkunjung ke Rayo Vallecano untuk aksi LaLiga hujung minggu ini sebelum berdepan Juventus bagi pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), Khamis depan.

Bulan lalu, kelab Sepanyol itu menjelaskan bahawa khidmat Costa amat ditagih untuk menentang Juve setelah menjalani pembedahan pada penghujung tahun lalu.

Penyerang itu sudah mula mengikuti latihan di samping rakan sepasukannya semalam, sekali gus meningkatkan harapan bahawa bisanya mungkin akan dipertaruhkan untuk menghadapi jaguh Serie A berkenaan.

Pertahanan, Stefan Savic -- yang mengalami kecederaan hamstring tahap kedua dalam kemenangan 1-0 ke atas Levante, 13 Januari lalu -- juga kembali cergas untuk bersama skuad bimbingan Diego Simeone itu.