Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, mengakui tidak sengaja mencetuskan keraguan tentang masa depannya tetapi tidak dapat memberikan jaminan akan kekal selepas kejayaan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Ronaldo, 33, menjadi pemain pertama yang memenangi lima gelaran UCL selepas kemenangan 3-1 ke atas Liverpool di Kiev, Ukraine.

Begitupun, pasca perlawanan menyaksikan pemain antarabangsa Portugal itu membayangi kejayaan itu dengan memberi petanda dia akan berpindah.

Ronaldo berkata ulasannya itu tidak kena pada masanya tatkala pasukannya sedang meraikan kejayaan yang diilhamkan oleh Gareth Bale.

"Saya meluahkannya dan saya tidak sepatutnya melakukannya, namun sesuatu bakal berlaku," katanya kepada pemberita.

"Ia bukan masa yang sesuai tetapi saya jujur, saya akan mengatakan sesuatu dalam masa seminggu ini kerana peminat sentiasa menyokong saya dan mereka berada di hati saya," katanya.

Bagaimanapun, Ronaldo, yang tenggelam dalam perlawanan penentuan itu berkata, dia tidak menyesal atas pendedahannya itu.

Walaupun mengikat kontrak sehingga 2021, Ronaldo mengakui tidak pasti dia akan terus berada di Madrid pada musim depan.

"Saya tidak boleh menjamin apa-apa, saya tidak akan berselindung. Dalam beberapa hari akan datang, saya akan bercakap," katanya.

"Kehidupan bukan setakat kejayaan sahaja. Saya bercakap dan menyapa beliau (Presiden Real Madrid, Florentino Perez) seperti seorang profesional.

"Keributan sengaja dicipta sedangkan ia langsung tiada," katanya lagi.