Joachim Low mengesahkan Leroy Sane cergas untuk mewakili Jerman berdepan Belanda dalam saingan kelayakan Euro 2020 awal pagi esok selepas menjadi mangsa pelbagai terjahan sewaktu bertemu Serbia.

Sane dibawa keluar dalam waktu kecederaan babak kedua selepas terjahan daripada Milan Pavkov menyebabkan penyerang Serbia itu dilayangkan kad merah sewaktu Jerman diikat 1-1 ketika aksi persahabatan.

Serge Gnabry terlepas aksi itu akibat jangkitan tetapi Low mengesahkan kedua-dua pemain tersebut cergas untuk memperkuatkan pasukannya menjelang aksi Kumpulan C kelayakan Euro 2020 di Johan Cruijff Arena sambil Manuel Neuer dan Toni Kroos mungkin berada dalam kesebelasan utamanya.

"Sane dan Gnabry cergas dan boleh turun beraksi," kata Low.

"Saya boleh mengesahkan Neuer dan Kroos juga mungkin memulakan perlawanan.

"Terdapat atmosfera istimewa dalam perlawanan ini. Kami mahu melalui kempen yang berjaya dan jelas sekali keputusan menjadi kunci untuknya, namun kami juga melihat perkembangan dalam pasukan.

"Belanda memiliki persefahaman yang hebat dan pasti akan sangat bermotivasi. Namun, kami bersiap sedia untuk mempamerkan prestasi terbaik."

Kroos memanaskan bangku simpanan ketika berdepan Serbia, namun kini bersedia melakukan gandingan bersama Joshua Kimmich di bahagian tengah skuad Jerman.

Tatkala Low memiliki pilihan sama ada menggunakan tiga bek tengah atau barisan empat benteng, Kroos menegaskan pasukannnya bagus dalam apa jua formasi.

"Kami mencatat persembahan terbaik bersama tiga pertahanan," ujar perancang Real Madrid itu.

"Namun, kami juga terbiasa dengan empat bek. Saya selesa dengan kedua-dua sistem."

Mengenai prospek gandingan bersama Kimmich, Kroos berkata: "Dalam aksi terakhir, ia menjadi bukti kami boleh bekerjasama.

"Kami melengkapi antara satu sama lain dan ternyata ia perancangan jangka panjang."