Low rehatkan Gnabry bersebab 

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2019 528
Low rehatkan Gnabry bersebab 
JERMAN 2 ARGENTINA 2

Joachim Low menyifatkan prestasi Serge Gnabry ketika Jerman diikat Argentina 2-2 awal pagi tadi sebagai cukup berbahaya, namun bertindak mengeluarkan penggempur Bayern Munich itu ekoran cuba mengelakkannya daripada ditimpa kecederaan. 


Gnabry menjaringkan gol pembukaan buat Jerman ketika perlawanan persahabatan di Signal IdunaPark itu hanya berusia 15 minit untuk melebarkan rekod golnya bersama kelab dan negaranya kepada enam jaringan dalam empat perlawanan terakhir. 

Kai Havertz kemudian menokok gol buat barisan kendalian Low itu mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama, namun selepas itu Argentina mengambil kesempatan daripada beberapa corak bertahan buruk lawan mereka itu melalui sentuhan pemusnah Lucas Alario dan Lucas Ocampos.

Jerman bakal menghadapi Estonia dalam perlawanan Kumpulan C, kelayakan Euro 2020, Isnin depan dan jurulatih berkenaan menjelaskan langkah untuk menggantikan Gnabry dengan pemain Schalke, Suat Serdar, selepas 72 minit dibuat kerana didorong oleh faktor perlawanan berikutnya. 

"Kami tidak mahu Serge Gnabry bermain selama 90 minit," kata Low kepada pemberita.

"Dia juga telah terlibat dalam banyak perlawanan sejak kebelakangan ini.

"Serge muncul hampir di setiap penjuru, kelibatnya sentiasa berbahaya dan membuatkan pertahanan Argentina kucar-kacir dalam babak pertama. Itulah dari awal-awal lagi kami sudah memutuskan akan membawanya keluar selepas 70 minit permainan.

"Kami memerlukannya dalam perlawanan akan datang dan risiko itu terlalu besar buat saya kerana dia masih boleh tercedera."

Low turut menjelaskan tindakan beraninya dengan mengangkat pertahanan Bayern Munich, Joshua Kimmich, sebagai kapten.

Pada usia 24 tahun, Kimmich telah membuat 45 penampilan sejak aksi sulungnya pada Mei 2016.

"Jo (Kimmich) telah lama bersama kami," kata Low. "Keperibadiannya secocok. Dia menjadi contoh atas persembahannya, termasuk sikapnya. 

"Dalam masa sama, dia juga mempunyai pengalaman. Dia juga boleh mengetuai pasukan secara lisan di atas padang. Dia sangat bagus dalam mengatur dan memberikan arahan.

"Kewujudannya sentiasa dirasai di padang, jadi keputusan saya itu sangat jelas."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen