Joachim Low memberikan pujian kepada Toni Kroos dan Matthias Ginter selepas kedua-duanya menampilkan aksi cemerlang bersama Jerman dalam saingan kelayakan Euro 2020 dengan menonjolkan kepentingan pemain tengah dan pertahanan itu.

Jerman membenam Belarus 4-0 kelmarin bagi mendapatkan slot ke Euro 2020 sementara Leon Goretzka, Ginter dan dua jaringan daripada Kroos melengkapkan kemenangan.

Ia merupakan tempoh sukar buat Die Mannschaft berikutan penyingkiran awal daripada saingan Piala Dunia tahun lalu, sementara pemilihan Low menghadirkan kritikan daripada barisan jurulatih, dengan Thomas Muller, Mats Hummels dan Jerome Boateng antara yang tidak disenaraikan dalam skuad itu.

Kekalahan di laman sendiri kepada Belanda, September lalu, hampir menggugat harapan Jerman untuk layak secara automatik atas prestasi cemerlang yang ditampilkan Ireland Utara dan The Oranje.

Namun, sejak itu Jerman kurang melakukan kesilapan dan Low memuji Kroos bukan hanya berdasarkan persembahannya Sabtu lalu tetapi terhadap sikapnya.

"Kroos bermain cemerlang, bukan hanya kerana menjaringkan dua gol," kata Low kepada laman web rasmi Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).

"Anda boleh menghantar bola kepadanya pada bila-bila masa dan dia akan mencari jalan untuk menanganinya walaupun diberikan tekanan oleh lawan.

"Dia merupakan pemain yang dicontohi kepada pasukan ini dengan cara dia menjalankan tugas. Dia sentiasa melakukan lebih sebelum serta selepas latihan, seorang pemain yang profesional."

Ginter yang merupakan tunjang kepada jentera pertahanan Jerman dalam saingan kelayakan Euro 2020, tampil enam kali sejak menggantikan Hummels.

Ia menampilkan kebangkitan yang cemerlang buat pertahanan tengah itu sejak diketepikan oleh Borussia Dortmund untuk berhijrah ke Borussia Monchengladbach.

"Sebagai juruatih, anda sentiasa mengharapkan sesuatu daripada Ginter," kata Low. "Anda boleh mempercayainya di atas kemampuannya untuk melancarkan pergerakan dari bawah.

"Ginter telah menampilkan peningkatan. Dia seorang pemain yang tenang dan ampuh. Saya sangat gembira kerana dia berjaya menjaringkan gol kelmarin."