Jurulatih Jerman, Joachim Low, merekodkan kemenangan ke-100 dalam perlawanan ke-150 kendaliannya selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Cameroon dalam saingan Piala Konfederasi, semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Low mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B dan bakal berdepan Mexico di Stadium Fisht, Sochi, Khamis ini.

Selepas babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan, pemain tengah Hoffenheim, Kerem Demirbay, meledak gol sulungnya di peringkat antarabangsa selepas menerima hantaran Julian Draxler.

Timo Werner turut merekodkan gol pertama menerusi dua gol dengan Vincent Aboubakar menjadi penjaring tunggal buat Cameroon.

Low melakar kemenangan pertamanya pada 2006 ketika menewaskan Sweden 3-0.

Kemenangan terbesar Low hadir dua perlawanan kemudian apabila Jerman membelasah San Marino 13-0.