Joachim Low tidak dapat menyembunyikan kekesalannya selepas Jerman tampil dengan aksi longlai ketika tewas 2-1 di tangan Austria dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Skuad bimbingannya mendahului setelah Mesut Ozil menggunakan kesempatan hasil kesilapan lawan sebelum jaringan Martin Hinterengger dan Alessandro Schopf cukup untuk mengatasi penjaga gol, Manuel Neuer.

Jerman tidak menang dalam lima perlawanan terakhir sejak melayakkan diri ke saingan Piala Dunia dan kini hanya memiiki satu perlawanan sebelum berlepas ke Russia.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang Low daripada berang dengan aksi lemah skuad kebangsaan Jerman.

"Beberapa detik lalu, saya mengatakan saya sedih," kata Low.

"Saya bukan sedih akibat tewas dan corak permainan tetapi sedih dengan cara kami tewas.

"Ia adalah salah kami selepas mendahului dalam sesebuah aksi. Kami cemerlang dalam 15-20 minit pertama tetapi kehilangan arah selepas itu, termasuk terlepas kawalan bola dengan mudah."

"Kami tidak biasa dengan pasukan sendiri dan membenarkan Austria mudah merencanakan permainan. Sebelum mereka meraih gol penyamaan pun, Austria telah meraih beberapa peluang keemasan. Jadi, kami sangat tidak berdisiplin.

"Kami tidak menjumpai rentak sebenar. Persembahan Jerman mengecewakan kerana terdapat banyak kesilapan mudah," tambahnya.