Perpindahan Leroy Sane ke Bayern Munich dialu-alukan oleh pengendali Jerman, Joachim Low, selepas gergasi Bundesliga itu sekali lagi menunjukkan minat terhadap pemain sayap Manchester City itu.

Bayern dilaporkan bersedia untuk membayar EUR80 juta (RM375 juta) buat pemain Jerman, Sane.

Pemain berusia 23 tahun itu menyumbat 10 gol serta menghasilkan banyak bantuan jaringan tatkala City mempertahankan gelaran liga sebagai sebahagian daripada tiga kejuaraan domestik yang diraih musim ini, yang menyaksikan mereka membenam cabaran Liverpool dan Manchester United.

Namun, pengendali City, Pep Guardiola, kerap meletakkan Sane di bangku simpanan ketika penghujung musim sambil lebih gemar menggunakan khidmat Raheem Sterling dan Bernardo Silva di bahagian sayap.

Musim lalu, situasi itu menyebabkan Sane dikejutkan dengan penyingkiran daripada skuad Piala Dunia 2018 walaupun Low telah kembali menyenaraikan pemain itu ke dalam pasukan dan percaya perpindahan ke Bayern akan menguntungkan semua pihak.

"Jika perpindahan itu berlaku, ia kisah bagus buat Sane, Bayern, skuad kebangsaan serta Bundesliga," kata Low.

Dalam masa sama, Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, menjelaskan pasukannya akan cuba membawa masuk Sane, sama seperti usaha mereka sewaktu pemain itu berhijrah ke City menerusi yuran GBP37 juta (RM196 juta).

"Masih belum ada perbincangan setakat ini. Sane adalah pemain yang menarik dan kami akan cuba," ujar Rummenigge.

"Saya tidak boleh berjanji sama ada ia akan berjaya."

Rummenigge turut menjelaskan situasi pemain veteran, Arjen Robben dan Franck Ribery, meninggalkan pasukan membuatkan Sane tidak menikmati tempoh sewaktu keluar daripada Schalke.

"Kami sudah berminat sejak dia bersama Schalke lagi," tambahnya.

"Namun, ketika itu kami tidak dapat memberi jaminan tempat dalam pasukan kerana Robben dan Ribery berada di puncak prestasi tiga tahun lalu."