Kelab Ligue 1, Lille, telah melengkapkan perpindahan percuma buat pertahanan Portugal, Jose Fonte.

Pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun selepas menamatkan pertalian dengan kelab Liga Super China, Dalian Yifang, awal minggu ini.

Dia hanya melakukan sembilan penampilan kompetitif di China tetapi masih mampu membarisi kesebelasan utama Portugal dalam keempat-empat perlawanan ketika Piala Dunia 2018.

Fonte, pertahanan yang pernah bersama Southampton dan West Ham United sebelum ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris, turut diberikan amanah untuk mengetuai rakan sepasukan bersama seorang lagi pemain baru, Loic Remy.

"Saya gembira dan berbangga meyertai Lille, sebuah kelab Perancis yang hebat," katanya.

"Ini adalah cabaran baru buat saya, di mana saya mengharapkannya agar berjaya. Saya memberikan segalanya yang ada untuk membantu kelab mendapatkan pencapaian terbaik dalam mengejar cita-cita mereka."

Lille menamatkan saingan Ligue 1 musim lalu dikedudukan ke-17, sekali gus mengelak daripada tersingkir ke Ligue 2.