Liga Perdana: Felcra FC masuk, Sime Darby FC dilarang bertanding

Oleh Staff Writer 24 November 2017 33226
Liga Perdana: Felcra FC masuk, Sime Darby FC dilarang bertanding
Hasrat Felcra FC untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan menjadi kenyataan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan kelab itu akan menggantikan tempat Sime Darby FC yang menarik diri.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru, semalam.

"Mesyuarat Lembaga FMLLP yang dipengerusikan oleh Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) menerima Felcra bermain dalam Liga Perdana musim depan. 

"Mengenai prosedurnya, pihak FMLLP akan mengantar surat kepada Felcra bagi memenuhi beberapa syarat," katanya.

Sime Darby dinaikkan pangkat ke Liga Perdana musim depan selepas menjuarai Piala FAM musim ini. Bagaimanapun, mereka membuat kejutan apabila mengambil keputusan membubarkan pasukan dan menarik diri daripada kancah Liga Malaysia.

Oleh kerana itu, tambah Hamidin, Sime Darby tidak lagi dibenarkan bertanding dalam Liga Malaysia.

"Harapan kami adalah untuk memastikan kelab-kelab yang bertanding ini perlu konsisten. Bukan hanya untuk dua, tiga tahun, selepas itu tarik diri.

"Kami mahu maklumkan, mana-mana kelab yang menarik diri tidak dibenarkan lagi untuk masuk selepas ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Hamidin berkata pengganti pasukan T-Team yang kini dikenali sebagai Terengganu FC II untuk beraksi dalam Liga Super musim depan akan diumumkan Selasa ini.

Ini termasuk status Felda United sama ada kekal beraksi dalam Liga Super atau diturunkan ke Liga Perdana gara-gara isu pelesenan kelab.

Liga Malaysia musim depan:

Liga Super

• Johor Darul Ta'zim (JDT)
• Pahang
• Felda United
• Kedah
• Perak  
• Terengganu
• PKNS FC
• Melaka 
• Kuala Lumpur 
• Selangor 
• Kelantan

Liga Perdana

• PKNP FC
•  Johor Darul Ta'zim II (JDTII)
• UiTM FC
• Negeri Sembilan 
• PDRM 
• Kuantan FA
• Pulau Pinang
• UKM FC
• Sabah
• MISC-MIFA
• Sarawak
• Felcra FC
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen