Ketua pasukan England, Harry Kane, tersenarai dalam skuad awal yang dinamakan Gareth Southgate sempena Kejohanan Akhir Liga Negara-Negara Eropah, namun Ruben Loftus-Cheek tersisih akibat kecederaan.

Loftus-Cheek ditimpa masalah pergelangan kaki ketika beraksi untuk Chelsea dalam perlawanan persahabatan menentang New England Revolution di Boston, Amerika Syarikat, semalam dan dia dilaporkan berkemungkinan perlu berehat panjang dan terlepas aksi perlawanan akhir Liga Europa menentang Arsenal.

Kane, bagaimanapun, dianggap akan cukup bersedia untuk berada di dalam skuad walaupun tidak beraksi selama enam minggu ekoran kecederaan buku lali.

Penyerang Tottenham itu bakal menggalas misi penting untuk memburu gol buat skuad kendalian Mauricio Pochettino itu yang akan menentang Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL), 2 Jun ini.

Pemenang Kasut Emas Piala Dunia 2018 itu merupakan salah seorang daripada sembilan pemain Spurs dan Liverpool yang tersenarai apabila England bersiap untuk menghadapi Belanda dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah, lima hari selepas terbabit dalam perlawanan akhir UCL di Madrid.

Seperti Kane, rakan sepasukannya di Spurs, Danny Rose, Kieran Trippier, Eric Dier, Dele Alli dan Harry Winks, serta tiga tonggak The Reds, Jordan Henderson, Joe Gomez dan Trent Alexander-Arnold, turut perlu segera menyertai kem Three Lions di Portugal.

Southgate menamakan skuad 27 pemain, termasuk pemain sayap Southampton, Nathan Redmond, sementara beberapa pemain kembali setelah terpinggir dalam kelayakan Euro 2020, Mac lalu.

Khidmat Winks dan Gomez tidak dapat digunakan bagi permulaan kelayakan kempen itu sementara Jesse Lingard dan Fabian Delph turut kembali tersenarai.

Dengan beberapa tonggak lagi akan terlibat dalam Piala FA, Liga Europa dan final UCL, pasukan England akan mula berkumpul secara berperingkat sebelum mereka melengkapkan senarai akhir 23 pemain.

Tiada tempat buat Pemain Terbaik Manchester United, Luke Shaw, dengan Ben Chilwell dan Rose mengambil slot pertahanan kiri sementara Delph berkemampuan untuk mengisi posisi berkenaan.

Senarai penuh panggilan skuad England:

Jack Butland (Stoke City), Tom Heaton (Burnley), Jordan Pickford (Everton); Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Ben Chilwell (Leicester City), Joe Gomez (Liverpool), Michael Keane (Everton), Harry Maguire (Leicester City), Danny Rose (Tottenham), John Stones (Manchester City), Kieran Trippier (Tottenham), Kyle Walker (Manchester City); Dele Alli (Tottenham), Ross Barkley (Chelsea), Fabian Delph (Manchester City), Eric Dier (Tottenham), Jordan Henderson (Liverpool), Jesse Lingard (Manchester United), Nathan Redmond (Southampton), Declan Rice (West Ham), James Ward-Prowse (Southampton), Harry Winks (Tottenham); Harry Kane (Tottenham), Marcus Rashford (Manchester United), Jadon Sancho (Borussia Dortmund), Raheem Sterling (Manchester City), Callum Wilson (AFC Bournemouth).