Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, perlu bersedia dengan dua tuntutan yang bakal diketengahkan pihak pengurusan Liga M3 dalam mesyuarat penting yang akan diadakan Khamis ini.

Baru memasuki pertengahan musim, kestabilan pasukan dalam saingan Liga M3 mula goyah.

Masalah kewangan yang kritikal apabila melibatkan 14 pasukan menjadikan saingan liga sosial itu umpama beban yang terpaksa ditanggung, terutama melibatkan hal-hal penginapan dan pengangkutan setiap kali berhadapan perlawanan.

Lebih parah, ada pasukan yang terpaksa membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk menanggung kos pasukan bagi saingan musim ini.

"Mereka tidak mampu untuk menampung kos seperti penerbangan ke Sabah atau Sarawak selain penginapan dan makanan.

"Saya juga kasihan kepada kelab lain, jadi saya harap ada bantuan kewangan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," kata jurulatih Puchong Feurza, Nazrulerwan Makmor.

Lantaran itu, antara tuntutan yang akan diutarakan ialah melibatkan bantuan kewangan daripada MFL serta slot automatik ke Liga Perdana yang melibatkan juara Liga M3.

Sebelum ini, juara Liga M3 terpaksa berhadapan dengan saingan play-off dengan dua pasukan di tangga tercorot Liga Perdana untuk naik ke divisyen kedua Liga Malaysia itu.

"Kalau MFL menawarkan slot automatik ke Liga Perdana kepada juara Liga M3, maka kami tiada masalah untuk mencari penaja tetapi jika tiada slot automatik yang ditawarkan, susahlah untuk kami mendekati penaja," katanya lagi.