Kelantan United FC mahu langkah kanan dengan memburu kemenangan pertama ke atas kelab dari Langkawi, Glory United FC, dalam aksi pembukaan Liga M3 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pengurus Kelantan United, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata pasukannya perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata penuh.

"Sudah pasti kami mahu bermula dengan langkah kanan dan misi kami adalah untuk mengalahkan Glory United FC malam ini.

"Saya percaya jika pemain dapat beraksi mengikut arahan dan taktikal jurulatih (Zahasmi Ismail), mereka tidak ada masalah untuk mendapatkan tiga mata," katanya.

Che Abdullah, yang juga presiden Kelantan United, berkata kejayaan melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menyingkirkan dua pasukan dalam pusingan kelayakan dan pusingan pertama turut menjadi suntikan semangat terbaik buat pemain.

"Sandaran kami tentulah diletakkan kepada penjaring enam gol dalam kempen Piala FA, Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi, selain dua tenaga import, Zozimar Elanos dan Seydou Sako.

"Saya juga berharap penyokong kami dapat hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kerana ia merupakan aksi pertama kami di gelanggang keramat ini," ujarnya.

Kredit Foto: Abe Jera