Kempen Liga Malaysia akan menggunakan khidmat pegawai perlawanan berstatus profesional buat kali pertama mulai tahun ini menerusi penubuhan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).

Idea penubuhan PMOM hadir menerusi kajian kes, iaitu "Profesional Game Match Officials Limited" (PGMOL).

PGMOL digunakan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan struktur yang hampir sama turut dipakai dalam dua liga di Asia, iaitu Liga Jepun dan Liga Korea Selatan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) percaya penubuhan PMOM merupakan usaha terbaik untuk meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia.

"Ini merupakan satu langkah yang proaktif sebagai inisiatif untuk meningkatkan mutu pengadilan bola sepak negara," kata ahli lembaga pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Pemilihan pegawai profesional ini juga akan dipilih mengikut kriteria yang ditetapkan MFL sebelum diberikan kontrak profesional.

MFL juga akan melantik seorang pengurus besar yang bertanggungjawab bukan sahaja mengurus operasi PMOM, malah memilih pengadil yang layak diberikan kontrak profesional.

"Kami akan meneliti setiap calon bagi mendapatkan khidmat pengadil yang berpengalaman," ujarnya.

MFL bersama FAM mengadakan perjumpaan bersama PGMOL di London semalam bagi mendapatkan khidmat nasihat bersama badan induk pengadil profesional EPL.