Pasukan KDM Keningau bertekad mempertahankan gelaran juara liga dalam edisi kedua Liga Bola Sepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM) 2018/2019.

Pengurusnya, Jackson Taguah, berkata dengan mengekalkan hampir 80 peratus pemain mereka ketika muncul juara edisi pertama ada 2014/2015, Keningau mahu memulakan kempen dengan langkah kanan dalam aksi Piala Sumbangsih bertemu KDM Papar (juara Piala FA 2014/2015) di Stadium Keningau, Sabtu ini.

"Selain mengekalkan hampir 80 pemain yang menjulang kejuaraan dalam edisi pertama lalu, kami juga telah membawa masuk beberapa pemain bagi menambah baik pasukan.

"Antara pemain yang dibawa masuk ialah bekas penyerang Sabah dan Melaka United, Rexjeson Pitirus, dan bekas pemain Piala Presiden Sabah, Dixy Mildy Juanis," katanya hari ini.

Keningau turut mengekalkan barisan jurulatihnya yang diketuai Sueli@Well Apin yang juga penolong jurulatih Piala Belia Sabah musim 2018 dan dibantu Uszaime Abdullah dan Dante S Tipay.

Mengenai desas-desus pasukan itu juga bakal diperkuatkan bekas pemain Senior Sabah yang baru tamat kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Jackson tidak menafikannya tetapi enggan mendedahkan nama pemain itu.

"Tunggu dan lihat. Mungkin semuanya mengenai Keningau akan anda ketahui dalam Piala Sumbangsih nanti," kata Jackson.

Beliau berkata, Keningau sudah bersedia sepenuhnya dan akan berjuang habis-habisan menghadapi cabaran Papar dalam perlawanan Piala Sumbangsih.

"Kami menjalani latihan intensif sejak minggu lalu di samping mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan di daerah Pedalaman.

"Saya berpuas hati dengan suasana dalam pasukan termasuk daripada segi kecergasan dan kombinasi pemain.

"Kami sudah bersedia (hadapi Papar) dan saya fikir bermain di halaman sendiri (Stadium Keningau) juga satu tambahan kelebihan buat kami.

"Oleh itu, kami mengalu-alukan peminat bola sepak Pedalaman terutama di Keningau untuk datang beramai-ramai memberi sokongan kepada kami," katanya.