Liga Juara-Juara: Guardiola enggan bercakap tentang tekanan

Oleh Staff Writer 16 Mac 2019 570
Liga Juara-Juara: Guardiola enggan bercakap tentang tekanan
Pep Guardiola tidak berasa tertekan untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah kerana menganggap kejayaan musim ini "tidak normal" buat Manchester City.

City dijadualkan bertemu Tottenham Hotpsur dalam suku akhir selepas menyingkirkan Schalke 10-2 secara agregat dalam pusingan 16.

Harapan tinggi diletakkan di bahu Guardiola, yang dua kali membimbing Barcelona menjuarai kejohanan terbesar Eropah itu, untuk membawa juara bertahan Liga Perdana Inggeris tersebut ke kelompok empat pasukan terbaik sejak mengambil alih pasukan itu pada 2016.

Bagaimanapun, pengendali City itu tidak melihat kejayaan di peringkat domestik wajar disertakan dengan kejayaan di peringkat benua.

"Kami memenangi banyak kejuaraan sebelum ini dan ia menjadi penyebab mengapa mereka menyangkakan ia normal, namun ia tidak normal.

"Standard saya bukan untuk berfikir 'kami adalah Manchester City, kami perlu memenangi segala-galanya. Kami perlu memenangi aksi final, jika tidak, ia akan menjadi bencana'.

"Ia akan menjadi bencana jika anda tidak melakukan apa yang sepatutnya.

"Anda perlu melakukan segala-galanya untuk mencuba.

"Apabila anda berada di tempat kami, anda tidak akan banyak merungut.

"Saya yakin penyokong kami menyedari perkara itu.

"Apabila saya bercakap kepada pengerusi, ketua pegawai eksekutif (CEO), dan pengarah sukan kami, mereka memuji apa yang telah dilakukan kami dalam dua musim ini. Itu adalah perkara terpenting.

"Selepas itu, semua pihak boleh menilai sama ada ia bencana atau tidak.

"Jika kami tidak memenangi Liga Juara-Juara, adakah kerja keras setiap tiga hari kami musim ini akan menjadi kegagalan atau bencana?

"Saya benar-benar tidak bersetuju tetapi apa yang boleh saya katakan? Terima dan teruskan," katanya.

City, yang akan berkunjung ke Swansea City bagi perlawanan suku akhir Piala FA hari ini, akan mengekalkan pemburuan empat kejuaraan utama mereka musim ini.

Impian itu akan mendapat pemangkin terbaik dengan kepulangan semula Kevin De Bruyne, yang baru pulih daripada kecederaan paha, selepas tamat waktu rehat antarabangsa.

Masalah kecergasan berterusan telah menjejaskan pengaruhnya sepanjang musim ini, namun Guardiola yakin pemain kebangsaan Belgium itu akan segera mendapatkan rentak terbaik.

"Dia kini berasa jauh lebih baik, namun ia belum 100 peratus pulih.

"Itu yang dikatakan doktor kepada saya dan Kevin berasakan dia sudah bersedia untuk kembali beraksi selepas waktu rehat antarabangsa. Itulah yang saya mahukan.

"Seperti yang kita semua tahu, Kevin memerlukan kecergasan terbaiknya, namun dia sentiasa mencetuskan sesuatu buat pasukan ini dengan visi dan kelakuannya.

"Apa yang penting, dia akan kembali dan dia akan kembali dengan hebat," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen