Penjaga gol Tigres UANL, Nahuel Guzman, menjaringkan gol dramatik untuk menyingkirkan Alianza dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara CONCACAF di Stadium Universitario de Nuevo Leon hari ini.

Mendahului 3-2 di laman sendiri, Tigres, bagaimanapun, berdepan risiko disingkirkan kerana peraturan gol di laman lawan dan memerlukan jaringan dramatik pada penghujung permainan.

Menerusi satu gerakan 'set-piece', Guzman menanduk masuk sepakan percuma Eduardo Vargas untuk memberikan Tigres kemenangan 4-2 dan mara ke suku akhir dengan agregat 5-4.

Penjaga gol berusia 34 tahun itu tidak dikawal dan mudah menemui umpanan Vargas pada minit ke-94.

Terdahulu, gol pembukaan Enner Valencia dan jaringan berganda Andre-Pierre Gignac memberikan Tigres kelebihan selesa sebelum Carlos Portillo Leal menjaringkan dua gol untuk menyamakan kedudukan agregat.


Tigres, yang memulakan Liga MX Clausura musim ini dengan perlahan, akan berdepan New York City dalam suku akhir.