Liga Bolasepak Perancis (LFP) dan Liga Bolasepak Jerman (DFL) memberi isyarat untuk menolak perubahan yang cuba diperkenalkan dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Rancangan untuk merombak kejohanan berprestij itu akan dipertimbangkan oleh Persatuan Kelab Eropah (ECA), termasuk kemungkinan meningkatkan bilangan perlawanan di peringkat kumpulan.

Liga Perdana Inggeris (EPL), bulan lalu, mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua 20 kelab secara sebulat suara menolak perubahan yang akan diperkenalkan, termasuk dalam saingan UCL.

LFP dan DFL turut mengikut jejak itu, semalam, dalam menyuarakan kebimbangan mereka mengenai cadangan ECA untuk merombak pertandingan kelab utama Eropah itu.

"Bola sepak Perancis bimbang tentang kesannya terhadap sukan dan projek ekonomi untuk pertandingan tempatan," kata LFP.

Kenyataan LFP itu menyebut seramai 32 ahli gabungan telah mengundi untuk menolak cadangan ECA manakala tiga ahli gabungan yang lain bertindak duduk di atas pagar dan badan induk bola sepak Perancis itu akan mengemukakan cadangan alternatif.

ECA juga bercadang untuk mengubah sistem kelayakan, justeru Ketua Eksekutif DFL, Christian Seifert, akan menyertai LFP dalam menentang rancangan itu.

"Konsep pertandingan yang sedang dibincangkan akan memberi kesan yang sukar diterima oleh liga tempatan di Eropah dan kerana itu, ia tidak seharusnya dilaksanakan," katanya.

"Kami tidak boleh membenarkan liga tradisional tempatan dirosakkan demi memikat berjuta-juta penonton di setiap benua.

"Dua aspek penting terlibat dalam perbincangan ini: Iaitu bilangan perlawanan dalam kalendar bola sepak dan paling mustahak, akses kepada pertandingan antarabangsa.

"Perubahan yang mahu diperkenalkan seharusnya tidak menjejaskan hal berkaitan dan masa depan liga tempatan di Eropah."