Sevilla memecat ketua jurulatihnya, Pablo Machin, selepas disingkirkan Slavia Prague dalam pusingan 16 Liga Europa semalam, demikian diumumkan kelab itu.

Machin dilantik jurulatih tetap sejak menggantikan Vincenzo Montella, Mei tahun lalu.

Dia pada awalnya kelihatan sebagai individu paling tepat untuk mengemudi pasukan itu selepas mencuri tumpuan sewaktu mengendalikan Girona, namun prestasi Sevilla semakin merudum sejak beberapa bulan lalu dan ia semakin meruncing sebaik mereka tersingkir dalam pusingan 16 Liga Europa.

Sevilla diikat 2-2 oleh Slavia dalam perlawanan pertama di laman sendiri minggu lalu sebelum aksi kedua semalam berakhir dengan keputusan sama dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Franco Vazquez meletakkan kelab sepanyol itu di depan dalam masa tambahan, namun Mick van Buren kembali menyamakan kedudukan sebelum Ibrahim Traore memutlakkan kemenangan Slavia pada minit-minit terakhir perlawanan bagi mencongak perhitungan dengan Chelsea dalam suku akhir.

Walaupun penyingkiran daripada kejohanan yang pernah dimenangi Sevilla sebanyak lima kali itu mendorong kepada pemecatan Machin, namun prestasi mereka dalam saingan LaLiga lebih membimbangkan.

Rekod tiga kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir menyaksikan mereka mungkin tidak akan layak menyertai Liga Europa musim depan, dengan Machin meninggalkan pasukan itu dengan lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Getafe.

Pengarah Sukan Sevilla, Joaquin Caparros, akan mengambil alih pasukan itu sepanjang baki musim ini seperti yang dilakukannya sewaktu pemecatan Montella sebelum ini dengan bekas pertahan Sevilla dan Sepanyol, Carlos Marchena, akan bertindak selaku pembantunya.

Ujian pertama Caparros adalah perlawanan menentang Espanyol malam esok.