Persatuan Bolasepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengejutkan pendahulu Liga Amatur Terengganu (TAL), Markless Kebilal, 2-0 di Kompleks Sukan Gong Badak.

Perlawanan kelmarin bermula dengan menyaksikan Markless Kebilal lebih menguasai babak pertama, dengan PBSMT hanya melakukan beberapa serangan balas.

Kehilangan ketua pasukan, Mohd Fahmi Izzudin, akibat kecederaan pada minit ke-21 tidak mematahkan semangat PBSMT yang mendahului menerusi sepakan penalti Muhammad Hafizan Talib (m-36).

Muhammad Danial Raimi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-42, malangnya gagal menyudahkan hantaran lintang Mohamad Hazrul Nizam Mustafa dari sebelah kanan.

PBSMT menggandakan kedudukan 2-0 menerusi jaringan Ahmad Haffizi Mohd hanya seminit bersambung separuh masa kedua bagi memastikan mata penuh menjadi milik pasukannya.

Teraju liga masih dipimpin Markless Kebilal yang mengutip 10 mata daripada lima perlawanan, hanya dibezakan jaringan dengan pasukan di tangga kedua, Gemuda FC, yang mengatasi TFFC 2-1.

PBSMT melonjak ke kedudukan ketiga hasil kemenangan kedua ini, juga berkongsi sembilan mata dengan Island FC yang menang tipis 1-0 ke atas Separa Elit Akademi Terengganu.

Turut meraih kemenangan ialah pasukan tangga tercorot, Delima Warriors, apabila mengecewakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Pemanis 1-0 serta CND FC yang mengalahkan Perkasa Alam 2-1.