Bintang Poland, Robert Lewandowski, kecewa dengan kesilapan dan ketidaksanggupan pasukannya untuk mengambil risiko ketika tewas 2-1 kepada Senegal dalam aksi Kumpulan H, Piala Dunia di Stadium Spartak, semalam.

Jaringan sendiri Thiago Cionek dan gol antarabangsa pertama daripada M'Baye Niang membantu Senegal mengalahkan Poland.

Sementara itu, Grzegorz Krychowiak menemui gol untuk Poland di hujung perlawanan, bagaimanapun mereka gagal memburu gol kedua untuk menyelamatkan satu mata.

Lewandowski berkata kesilapan dan kegagalan pasukan mengambil risiko menghukum mereka tetapi dia berjanji akan tampil lebih baik dalam pertembungan penting menentang Colombia di Kazan, awal pagi Isnin ini.

"Banyak perkara berlaku tidak seperti yang dirancang, malah kami membiarkan mereka menjaringkan dua gol, bukannya cara kami mengambil mata," kata kapten Poland itu menerusi L'Equipe.

"Ia menjadi sukar bermain apabila kamu sudah memberikan satu atau dua gol. Kamu perlu mengejar.

"Saya fikir kami tidak mengambil risiko yang cukup, kami bermain terlalu konservatif tetapi Senegal menunggu. Kami tidak dapat memenuhi potensi kami.

"Kami terlepas banyak perkara, kami membuat terlalu banyak kesilapan dan sudah tentu apabila kami membuat kesilapan bodoh, kami jadi gugup.

"Menentang Colombia tidak mudah, kami akan bermain dengan cara berbeza dan lebih baik daripada hari ini," tambahnya.

Colombia yang bermain dengan 10 orang kalah 2-1 di tangan Jepun dalam perlawanan pembukaan mereka, sekali gus bakal menyaksikan pertembungan sengit di Kazan nanti.