Zlatan Ibrahimovic tidak akan kembali menyertai AC Milan bulan depan kerana ingin mengotakan janjinya untuk melanjutkan kontrak di LA Galaxy, demikian disahkan Pengarah Sukan AC Milan, Leonardo.

Ibrahimovic menikmati dua musim penuh gemilang di Milan dari 2010, dengan awalnya menyertai Milan menerusi pinjaman daripada Barcelona sebelum akhirnya menandatangani perjanjian tetap.

Bekas pemain Sweden itu mencetuskan sensasi dalam musim pertamanya bersama Milan apabila menyumbat 28 gol dalam 32 perlawanan Serie A.

Ibrahimovic, 37, telah dikaitkan akan kembali ke Milan setelah mencipta impak besar dalam kancah Liga Utama Amerika Syarikat (MLS).

Begitupun, Milan perlu mempertimbangkan pilihan lain berikutan Leonardo memahami hasrat Ibrahimovic untuk kekal dengan Galaxy.

"Ibrahimovic tidak akan kembali ke Milan," kata Leonardo kepada Sky Sport Italia. "Dia telah berjanji dengan LA Galaxy bahawa dia akan memperbaharui kontraknya.

"Kami bercadang untuk membawanya kembali dan dia juga mempertimbangkannya, namun dia ingin mengotakan kata-katanya dan akan kekal dalam MLS.

"Dari awal lagi dia sering mengatakan jika Galaxy memenuhi syarat-syaratnya, maka dia akan kekal. Mereka melakukannya dan dia akan kekal di sana.

"Ia akan menjadi kisah yang luar biasa dan hasrat yang kuat daripada (Milan), tetapi ia tidak mungkin."