Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo, mengakui tidak semua isu berkaitan Neymar sudah selesai, namun mahu segala cakap-cakap mengenai pemain itu ditamatkan.

Selepas keinginannya untuk kembali ke Barcelona dalam jendela perpindahan lalu gagal terlaksana, Neymar melakukan penampilan pertamanya musim ini ketika menewaskan Strasbourg 1-0 dalam Ligue 1, Sabtu lalu.

Bintang Brazil itu menjadi sasaran ejekan peminat PSG pada setiap sentuhannya, namun menjaringkan gol kemenangan menerusi aksi akrobatiknya pada minit ke-92.

Pemain berusia 27 tahun itu berasakan dia akan menerima layanan sama dalam setiap perlawanan selepas ini sambil menyedari ia berpunca daripada keinginannya untuk meninggalkan kelab itu.

Leonardo tidak bersetuju dengan keinginan Neymar untuk meninggalkan pasukan itu selepas hanya dua tahun menyertainya daripada Barca dengan rekod perpindahan bernilai €222 juta (RM1.02 bilion), namun berasakan pemain itu perlu diberikan kebebasan untuk memperbetulkan keadaan.

"Neymar melakukan kesilapan, benar, tetapi apabila jendela perpindahan tertutup, dia kembali dengan cara yang positif," katanya kepada RMC.

"Dia kembali tepat pada masanya (untuk ke sesi latihan) selepas perlawanan bersama skuad Brazil dan berkelakuan dengan amat baik.

"Dia beraksi baik dalam keadaan yang tidak begitu baik.

"Dan dia menjaringkan gol dengan aksi yang amat gemilang.

"Selepas perlawanan, dia memberikan kenyataan yang amat jujur dan bagus.

"Sudah pasti jika kita mengkaji setiap butir percakapannya, kita akan mencari setiap perkara untuk diulas.

"Dan ia benar, kami tidak boleh katakan yang setiap perkara sudah selesai.

"Tetapi anda tidak boleh membuat drama bersiri Mexico terhadap situasi itu.

"Kami perlu beraksi dan berlatih.

"Neymar bukannya orang jahat. Dia sebahagian daripada warisan bola sepak, bukan hanya untuk PSG.

"Apabila anda memerhatikan skuad ini, sudah pasti kami akan lebih kuat dengan kehadirannya," katanya.

PSG akan berdepan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah di Parc des Princes awal pagi Khamis ini.

Neymar tidak akan diturunkan dalam perlawanan itu gara-gara penggantungan perlawanan.

Turut terlepas ialah Edinson Cavani dan Kylian Mbappe yang masih cedera untuk meninggalkan Mauro Icardi dan Eric Maxim Choupo-Moting di jentera serangan.