Penyerang Sevilla, Nolito, menegaskan bahawa dia akan mendoakan yang terbaik buat rakan sepasukannya, Clement Lenglet, jika dia menyertai Barcelona.

Pemain pertahanan kelahiran Perancis itu dikaitkan dengan beberapa kelab selepas menyinar di Sevilla musim ini, namun spekulasi menunjukkan bahawa gergasi Catalan itu menjadi pasukan utama menandatangani pemain berusia 22 tahun itu.

Ejennya, Gregory Dakad, menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan dilakukan dan kliennya mahu memberi tumpuan kepada perlawanan yang akan datang dengan Alaves pada hari terakhir kempen LaLiga.

Nolito, bagaimanapun, mengulas secara umum tentang kemungkinan perpindahan itu dan berkata dia memahami Lenglet mungkin mahu menyertai juara LaLiga itu.

Dia memberitahu Radio Marca: "Saya tidak suka memberikan nasihat, Barcelona adalah kelab yang sangat menuntut, kamu perlu memenangi apa sahaja yang diperlukan, ada banyak persaingan tetapi dia seorang anak muda, mungkin bercita-cita untuk bersama salah satu kelab terbaik di dunia.

"Jika ia benar dan dia akan pergi, kami mendoakan yang terbaik. Kehilangannya akan dirasai kerana dia adalah pemain tengah yang kuat."

Awal minggu ini, Dakad memberitahu Estadio Deportivo: "Dia masih tidak tahu apa yang akan dilakukannya atau apa yang dia mahu lakukan pada musim panas akan datang.

"Pada masa ini, Lenglet memberi tumpuan kepada aksi hujung musim.

"Sudah tentu, terdapat kelab yang berminat dengan Lenglet tetapi paling utama, dia mahu menamatkan musim dengan baik -- dia sangat menyukai kelab dan bandar ini," ujarnya.