Ledakan Safawi beri Harimau Malaya tonik kemenangan

Oleh Staff Writer 9 November 2019 1247
Ledakan Safawi beri Harimau Malaya tonik kemenangan
MALAYSIA 1 TAJIKISTAN 0 

Harimau Malaya meraih kemenangan moral menjelang perlawanan keempat Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan Thailand, Khamis depan, apabila mengatasi Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. 


Jurulatih, Tan Cheng Hoe, cuba menguji kesebelasan berbeza berdepan pasukan di ranking ke-116 itu apabila mengekalkan gandingan yang sama dalam perlawanan terakhir menentang Vietnam di bahagian pertahanan dengan mempertaruhkan gandingan Aidil Zafuan Abdul Radzak selaku ketua pasukan di samping Shahrul Saad sambil diapit Matthew Davies serta La'Vere Corbin-Ong. 

Baddrol Bakhtiar, Syamer Kutty Abba, Nor Azam Azih, Syahmi Safari dan Akhyar Rashid pula berpeluang membarisi bahagian tengah manakala Syafiq Ahmad menerajui bahagian serangan. 

Kombinasi berkenaan menyaksikan Harimau Malaya mengatur percubaan tepat seawal minit keenam tetapi rembatan Syahmi, yang muncul pemenang Gol Terbaik dan Kesebelasan Terbaik Piala AFF 2018, dihalang pertahanan lawan. 

Berikutnya, giliran Alisher Dzhalilov menuntut ketangkasan penjaga gol negara, Khairul Azhan Khalid, untuk menampan sepakan rendahnya, disusuli Syafiq mengatasi penjaga gawang lawan, Rustam Yatimov, tetapi bola sempat dikeluarkan pertahanan sebelum penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sempat membuat tindakan penyudah. 

Ketika kedua-dua pasukan saling melepaskan percubaan liar, perbalahan di antara Syafiq dan dan Tabrezi Davlatmir mendorong pengadil, Razlan Joffri, melayangkan kad kuning kepada kedua-duanya. 

Cheng Hoe pantas mengubah percaturan dalam separuh masa kedua dengan mengetengahkan Brendan Gan, yang baru menyambut cahaya matanya di Australia, untuk menggantikan Baddrol. 

Syahmi terus menjadi duri dalam daging buat lawan dan kali ini ketika babak kedua baru berusia 32 saat, larian derasnya menyebabkan Yatimov dilayangkan kad merah atas kesalahan menampan bola dengan tangan di luar kotak penalti. 

Sejurus permainan melewati sejam, Razlan sekali lagi dikerumuni barisan pelawat bimbingan ‎Usmon Toshev itu apabila mengeluarkan kad merah kepada Amirbek Juraboev sebelum membetulkan keadaan dengan memberikan kad kuning kerana bola terkena tangannya di luar kotak penalti. 

Dalam situasi itu, pengendali negara berusia 51 tahun itu membuat pertukaran dengan memasukkan Safawi Rasid dan Adam Nor Azlin serta mengeluarkan Syahmi dan Aidil. 

Safawi hampir membalas kepercayaan itu dengan percubaan pertamanya, namun sepakan percumanya yang mirip jaringannya dalam final Piala Malaysia minggu lalu, terkena palang. 

Skuad kebangsaan akhirnya menghukum 10 pemain pelawat dengan Safawi memanfaatkan hantaran lolos Brendan apabila melakukan gerakan kegemarannnya di bahagian sayap kanan, mengelecekkan kapten, Nazarov Akhtam, sebelum melakukan tindakan penyudah dengan kaki kirinya yang menewaskan penjaga gol gantian, Qirghizboev Shohrukh. 

Jaringan tunggal itu sudah cukup untuk menjulang kemenangan buat skuad negara dan secara tidak langsung memadamkan episod kekalahan di Dushanbe 1-4 pada 2014.

"Kemenangan ini memberi kami suntikan terbaik tetapi secara keseluruhannya, masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dalam soal hantaran yang tidak begitu tepat lagi. 

"Apapun dengan tempoh beberapa hari lagi melawan Thailand, pemain saya akan bersedia. 

"Tajikistan juga bermain dengan baik apabila hampir membolosi kami dalam tempoh 10 minit pertama.

"Kami masih lagi perlu tingkatkan lagi persembahan," kata Cheng Hoe selepas perlawanan.



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen