Croatia disambut kira-kira setengah juta peminat di jalanan di Zagreb semalam sebaik mereka pulang ke negara asal dengan disambut meriah setelah tewas dalam perlawanan akhir Piala Dunia Russia.

Walaupun jurulatih, Zlatko Dalic, memiliki kualiti individu yang tidak boleh disangsikan lagi, tidak ramai yang menjangkakan Croatia akan mara sejauh itu.

Persiapan Croatia sempena kejohanan itu bukanlah sempurna memandangkan Dalic hanya dilantik sebagai pengganti kepada Ante Cacic yang dipecat Oktober lalu ketika kempen kelayakan mereka berada di hujung tanduk dengan baki satu perlawanan.

Dalic akhirnya membawa Croatia ke perlawanan play-off sebelum menempah tiket ke Russia, di mana mereka memungut tiga kemenangan di peringkat kumpulan -- termasuk kejayaan cemerlang membenam Argentina 3-0.

Kemenangan dalam penentuan sepakan penalti ke atas Denmark dan Russia, diikuti dalam pusingan 16 dan suku akhir sebelum kemenangan 2-1 menentang England dalam masa tambahan, menyaksikan mereka melangkah ke pentas akhir Piala Dunia buat julung kalinya.

Croatia gagal dalam perlawanan akhir apabila tumpas 2-4 kepada Perancis tetapi kekecewaan tersebut tidak menghalang sambutan untuk meraikan mereka.

Menurut pengacara majlis, polis tempatan menganggarkan seramai 550,000 peminat hadir menyambut mereka -- lebih 10 peratus daripada 4.2 juta penduduk negara itu -- ketika diarak sepanjang jalan di ibu negara, Zagreb, sepanjang hari untuk menyaksikan kepulangan wira mereka yang menaiki bas terbuka dari lapangan terbang.

Perjalanan itu sepatutnya memakan masa kira-kira 30 minit, namun menjadi lebih empat jam kerana diraikan penyokong setia Croatia yang sesak.

Walaupun pengembaraan Croatia tidak berakhir dengan kejayaan, jelas mereka dilihat sebagai juara di mata orang ramai.